NILAI, 3 Januari 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerima Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) baharu, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi berkuatkuasa tiga tahun bermula 3 Januari 2023 sehingga 2 Januari 2026.

Anak jati kelahiran Negeri Sembilan ini merupakan lulusan Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan kini merupakan Profesor dalam bidang Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM sejak 2013. Beliau pernah berkhidmat di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (1994-2004) dan Universiti Malaysia Sabah (2005-2013).

Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik banyak berjasa dalam membangunkan kurikulum pra-siswazah program perubatan USIM yang berpaksikan kepada integrasi ilmu Naqli dan Aqli, program pasca-siswazah dalam bidang perubatan keluarga, penyelidikan dalam bidang Perubatan Keluarga, Penjagaan Paliatif dan Kesihatan Lelaki.

Berdasarkan pengalaman luas dalam pembentukan kurikulum akademik, beliau telah dilantik menjadi ahli Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dari tahun 2011-2013, juga sebagai panel penilai program perubatan oleh MQA dan MMC di IPTA dan IPTS seluruh Malaysia, selain telah diminta oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ketika itu  untuk menilai program perubatan di Tunisia dan Morocco.

Sebagai Profesor Perubatan yang mempunyai pengalaman akademik dan klinikal di Sabah selama 8 tahun, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik telah dilantik sebagai wakil Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa sejak tahun 2008 termasuklah sebagai wakil Rural Health Action Party, World Family Doctor (WONCA) dan telah menyumbang kepada penulisan bertajuk “Rural Health Education in Malaysia” dalam buku ‘Rural Health Education Guide Book’.

Beliau pernah menjawat jawatan Pengarah Pusat Pakar Kesihatan USIM pada tahun 2015 hingga 2016 dan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam menawar dan memberikan perkhidmatan kepakaran perubatan dan kesihatan kepada masyarakat terutamanya golongan asnaf dan fakir-miskin di daerah Negeri Sembilan dan Nilai khususnya melalui Klinik Pakar Perubatan dan Pergigian USIM, Klinik Pakar Bergerak USIM dan Perkhidmatan Haemodialisis USIM-MAINS.

Beliau turut diberi kepercayaan sebagai Penasihat, Persatuan Mahasiswa anak Negeri Sembilan USIM bagi membimbing mahasiswa anak-anak Negeri Sembilan USIM menjalankan aktiviti kemasyarakatan di pelusuk daerah Negeri Sembilan.

Selain itu, beliau juga merupakan Ahli Senat Universiti, Mantan Pengerusi Jemaah Profesor USIM, dan mantan Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI).

Satu majlis ringkas penyerahan kad Timbalan Naib Canselor oleh Pendaftar USIM, Dato Muhammad Haizuan Rozali dengan disaksikan oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, dan pengurusan tertinggi universiti telah diadakan bertempat di lobi canselori.

Diharapkan kepakaran dan pengalaman dimiliki Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor dapat memperkasakan agenda penyelidikan dan inovasi serta memacu USIM terus terkehadapan sebagai sebuah entiti dan universiti awam yang menerajui pengintegrasian Ilmu Naqli dan Aqli sebagai tunjang kebitaraannya.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan