KAJANG, 21 Disember 2018 – Dua pasukan pelajar tahun akhir Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya menggungguli tempat pertama dan kedua dalam pertandingan Filem Pendek Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa bersempena Hari Bahasa Arab Sedunia yang disambut pada 18 Disember setiap tahun.

Pertandingan yang berlangsung di Pusat Pendidikan ISESCO di Malaysia berpusat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) memerlukan peserta menghasilkan video berdurasi 5 minit dalam bahasa Arab sebagai wadah perkongsian tempat-tempat pelancongan menarik di Malaysia.

Di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Mohammad Najib Jaffar, Pensyarah FPBU pasukan USIM menghasilkan projek yang bertajuk ”Port Dickson” dan ”Menara Berkembar KLCC” menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,300.00 bagi tempat pertama, manakala RM1,000.00 bagi tempat kedua selain turut menerima hamper dan sijil.

YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia dalam ucapan perasmian berkata pertandingan ini merupakan titik-tolak kepada penyediaan bakat yang mempunyai daya saing ke peringkat global di mana Kementerian Pendidikan sangat mengalakkan pelajar untuk menguasai pelbagai bahasa asing termasuklah bahasa Arab.

”Melalui platform pertandingan ini juga dapat memperkasa pencapaian akademik dan membentuk sahsiah cemerlang serta membina keyakinan tinggi dalam kalangan pelajar,” ucapnya lagi.

Prof. Madya Dr. Mohammad Najib Jaffar pula meletakkan harapan supaya pencapaian ini terus dapat meningkatkan syiar bahasa Al-Quran di kampus barakah USIM ke arah menjadi pusat rujukan global dalam Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032