NILAI – Muhammad Zulfikar Firas Putra Zulpakar Pahmi, 16, pelajar Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah mencatat kejayaan cemerlang dengan memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini. Beliau merupakan pelajar termuda dan ‘fast track’ SPM pada tahun 2024 ketika beliau berusia 15 tahun.
Anak tunggal kelahiran Kuala Lumpur ini juga merupakan hafiz yang telah melengkapkan hafazan 30 juzuk ketika tingkatan dua pengajiannya di Kolej Permata Insan USIM.
“Saya rasa syukur dan gembira atas keputusan yang dicapai dan ia berkata bukanlah suatu yang mudah namun atas berkat doa ibu dan ayah, pensyarah serta usaha akhirnya beliau berjaya mencapai keputusan yg cemerlang ini.”
“Saya amat berterima kasih kepada ibu dan ayah atas dorongan dan sokongan yang diberikan dengan segala keperluan dari segi kelas tuisyen, buku latihan yang menjadikan apa yang saya capai hari ini, saya bayar dengan kejayaan ini”, ujarnya lagi.
Firas bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, malah turut aktif dalam pelbagai aktiviti peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara pencapaian membanggakan beliau termasuk penyertaan dalam iJURECON (Insan Junior Researchers International Conference & Innovation), ASEAN for the Gifted in Science di Republik Korea, Singapore Math Global Assessment, Singapore & Asian Math Olympiad, Kangaroo Math Competition, HackINSAN (Hackathon), National Robotics Competition, National Science Challenge, International Applied Chemistry Olympiad, dan International Chess Championship.
Dalam satu temu bual bersama beliau, Firas turut berkongsi rahsia kejayaannya yang terletak pada keseimbangan antara akademik dan hafazan al-Quran. Beliau berkata, “ibu sentiasa berpesan supaya saya menjaga al-quran, jaga solat dan ulangkaji pelajaran secara konsisten, bukan ‘last minute’.
Beliau berkata lagi, dengan berkat hafaz 30 juzuk ini memudahkan beliau untuk memahami apa yang dipelajari kerana ada ayat quran yang berkaitan dengan apa yang dipelajari.
Dengan pencapaian ini, Firas berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Aktuari dan bercita-cita menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) suatu hari nanti.
Semoga kejayaan Firas menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha dan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Firas merupakan antara 104 orang pelajar yang mengambil SPM 2024, dan 35 daripadanya memperoleh 11A.