NILAI, 21 Februari 2018 – Bersempena dengan Asian Islamic Science Camp 2018, Kolej PERMATA Insan bersama pelajar dari Prince of Songkhla University (PSU) Thailand telah mengadakan program merentas kampus. Program yang menjadi acara tahunan ini ternyata lebih meriah tahun ini apabila turut melibatkan penyertaan dari pelajar Thailand sempena lawatan satu minggu mereka di Kolej PERMATA Insan, USIM.

Melalui program ini, pelajar dapat menjalinkan hubungan yang baik, serta bertukar pendapat antara satu sama lain dalam bidang akademik dan juga kokurikulum mereka. Selain itu, pelajar juga dikenalkan dengan persekitaran kampus USIM. Ternyata aktiviti luar kelas seperti ini juga dapat memberikan peluang kepada pelajar KPI dan PSU dapat menghilangkan tekanan belajar mereka selain dari menyihatkan badan.

Lawatan seminggu 66 orang pelajar PSU, Thailand ini adalah bertujuan untuk merasai sendiri cara pembelajaran di Kolej PERMATA Insan. Mereka turut sama dalam semua aktiviti pelajar KPI seperti kelas akademik, aktiviti persatuan dan kelab, kelas hafazan dan sebagainya. Program yang telah masuk tahun kedua penganjuran ini dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan antara PSU dan KPI yang memiliki status sekolah dalam kampus di negara masing-masing.

Acara yang dilepaskan oleh Pengarah Kolej PERMATA Insan, Prof Dr. Che Husna Azhari ini bermula dari Kolej PERMATA Insan mengambil masa kira-kira satu jam dalam jarak 5 KM. Program ini juga melibatkan semua staff Kolej PERMATA Insan dan guru pengiring dari PSU sendiri.

Disediakan oleh:
Nor Adlyizan Bin Theis
Kolej PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204