NILAI 27 Ogos 2020 – Mesyuarat Senat Universti Sains Islam Malaysia (USIM) Kali Ke-116, Bil.2/2020 pada 18 Jun 2020 telah meluluskan permohonan naik tarif seorang pelajar pasca siswazah Fakulti Sains dan Teknologi (FST) daripada peringkat Sarjana ke peringkat Doktor Falsafah.

Muhammad Harith Noor Azam, lulusan Sarjana Muda juga di USIM telah menjadi pelajar pertama FST yang diluluskan oleh Mesyuarat Senat untuk naik taraf pengajian. Beliau yang tamat pengajian dalam bidang Keselamatan dan Jaminan Maklumat pada tahun 2018 kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang yang sama (secara khusus: Audio Steganography) bermula Semester I, Sesi Akademik 2018/2019.

Muhammad Harith yang kini di semester ke-4 pengajian peringkat Sarjana di bawah penyeliaan penyelidikan Prof. Madya Dr. Farida Hazwani binti Mohd Ridzuan dan Dr. M Norazizi Sham Bin Mohd Sayuti (Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina) telah berjaya membentangkan penyelidikan beliau di IEEE Conference on Applications, Information and Network Security 2019 (AINS 2019) dan 2nd International Conference on Recent Advancements in Science and Technology (iCORAST) 2019.

Mengimbau kembali sejarah, permohonan beliau pada awalnya telah disokong oleh Jawatankuasa Jawatankuasa Penukaran Ijazah Doktor Falsafah (JKPID) peringkat FST pada 27 Disember 2019. Ia kemudiannya dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengajian Siswazah Universiti (JKPU) Kali Ke-85, Bil.1/2020 pada 23 Januari 2020.

Proposal beliau telah disemak oleh penilai luar; Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan telah disokong untuk naik taraf. Mesyuarat JKPSU Kali Ke-86, Bil.2/2020 pada 6 April 2020 telah memperaku permohonan pelajar untuk dibentangkan ke Mesyuarat Senat Universiti.

Disediakan oleh:
Fakulti Sains dan Teknologi (FST)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan