YOGJAKARTA, 23 April 2018 – Seramai 19 orang mahasiswa dan mahasiswi tahun 3 dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diiringi seorang pensyarah pengiring, Dr. Najwa Hayaati binti Mohd Alwi menjalankan aktiviti Pengembaraan Global Islamic Students Outreach (GISO): The Journey of Virtue to Yogyakarta, Indonesia 1 April 2018 hingga 6 April 2018.

Selain tujuan utama untuk mendalami kaedah penyebaran ilmu serta menghayati nilai Islam di kalangan penduduk di Yogyakarta, peserta GISO mahu mengeratkan hubungan serantau diantara USIM sebagai pusat pengajian tinggi di Malaysia dengan masyarakat Islam di negara luar pada masa yang sama membuka ruang kepada mahasiswa USIM untuk mempelajari dan mengetahui budaya dan amalan agama dalam kalangan komuniti Islam di Yogyakarta.

Menurut Pengarah GISO, Tengku Amirul Hakim bin Tengku Shahrizanny, pengembaraan yang dilakukan ini dapat memberi pengalaman baharu dan berupaya melengkapkan diri mereka dengan kemahiran insaniah yang tidak mungkin diperoleh di dalam universiti.

Tambah Dr Najwa, program sebegini adalah suatu sessi pembelajaran menyeluruh dlam kehidupan malah para peserta berpeluang melihat situasi di negara lain melahirkan rasa cinta dan syukur dengan nikmat yang ada di negara kita.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah diskusi ilmiah dan pendekatan Sains melalui aktiviti explorace di Sekolah Tinggi Agama Islam Sunan Pandanaran. Selain itu, sesi soal jawab agama dan pengenalan tokoh-tokoh Islam terdahulu di Panti Asuhan Al-Hakem serta mengadakan aktiviti seperti gotong-royong dan memasak bersama penduduk Kampung Candi Dukuh, Pakem, Sleman.

Delegasi GISO turut memberi sumbangan berbentuk makanan dan wang ringgit kepada penduduk tempat dilawati kemudian mengambil peluang meneroka keindahan alam Pencipta di sekitar Yogyakarta seperti Goa Pindul, Gunung Merapi dan Hutan Pinus.

Disediakan oleh:
Nurfarra Atiqa Rusli
Setiausaha 1 program GISO Yogyakarta 2018
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204