NILAI, 30 Mac 2018 – Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan Majlis Pelancaran Tabung Dana Ihya’ Ramadhan 1439H / 2018M pada jumaat lalu di Kompleks Islam Tunku Mukhriz.

Majlis dimulakan dengan ucapan dari Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau menyampaikan hasrat beliau agar semua pihak dapat sama-sama menjayakan tabung dana Ihya’ Ramadhan pada tahun ini.

“Tujuan utama pelancaran Tabung Dana Ihya’ Ramadhan adalah untuk memberi kesedaran kepada seluruh warga USIM dan masyarakat sekitar bahawa ramadhan sudah menghampiri. Disamping itu juga, inisiatif pelaksanaan tabung dana ini menyokong ke arah hasrat USIM untuk menjadi Kampus Barakah di samping melahirkan warga USIM yang mampu menarik barakah Allah SWT,”

“Tahun ini Pusat Islam mensasarkan seramai 450 orang jemaah yang akan menerima juadah untuk berbuka puasa berbanding 350 orang pada tahun sebelumnya,” tambah beliau.

Manakala menurut Naib Canselor USIM, YBhg. Prof Datuk Dr Musa Ahmad, beliau berterima kasih dan mengucapkan penghargaan kepada Pusat Islam selaku peneraju majlis ini.

“Saya difahamkan bahawa pengurusan Pusat Islam telah merancang pelbagai aktiviti yang bermanfaat pada bulan Ramadhan ini antaranya Ceramah Ambang Ramadhan, Siri Tazkirah Ramadhan, Tadarus Al-Quran,Majlis Berbuka Puasa Majlis Khatam Al-Quran Perdana, Qiamullail dan lain-lain pengisian,”

“Jumlah yang agak besar, tapi saya yakin dengan ukhwah Islamiyah yang terbina dan semangat untuk menyambut tetamu teristimewa, jumlah tersebut sama-sama kita kumpul dan realisasikan melalui tabung dana infaq yang akan dilancarkan,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau juga berkata bahawa untuk menjayakan semua program ini memakan belanja yang besar dan menyeru warga USIM bersama-sama merealisasikan hasrat ini.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk berkolaborasi dengan Karangkraf bagi menghasilkan naskah al-Quran dan di sambut baik oleh pihak Karangkraf.

Majlis ini juga di hadiri oleh Ahmad Yani Abdul Manaf selaku Pengurus Hal Ehwal Agama Dan Penerbitan al-Quran Karangkraf bagi menyempurnakan penyerahan al-Quran Projek Wakaf Tunai oleh Karangkraf kepada USIM.

Ahmad Yani Abdul Manaf selaku Pengurus Hal Ehwal Agama Dan Penerbitan al-Quran Karangkraf berterima kasih kepada USIM kerana memilih Karangkraf sebagai rakan kerjasama.

Disediakan oleh:
Mohd Badrul Hisham Zakaria
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204