NILAI, 30 November 2022 – Kesedaran politik terutamanya melalui Undi18 dalam kalangan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semasa Pilihan raya Umum ke-15 Malaysia baru baru ini menunjukkan reaksi positif apabila sebanyak 83.70 peratus mahasiswa/mahasiswi turun mengundi pada Pilihan Raya Kampus (PRK) Pemilihan Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) Sesi 2022/2023 yang berlangsung malam tadi.

Seramai  15 calon umum dan 30 calon fakulti bertanding untuk merebut 9 kerusi umum dan 18 kerusi fakulti.

Keputusan pemilihan MPP ini berpihak kepada Farah Baharudin, mahasiswi tahun tiga dari Fakulti Sains dan Teknologi yang bertanding untuk Kerusi Umum dengan memperoleh undian tertinggi iaitu sebanyak 7,796, diikuti seorang lagi calon Kerusi Umum iaitu Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin, juga mahasiswa tahun tiga dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama yang memperolehi sebanyak 7,237 undian.

Ini sekaligus menunjukkan majoriti suara mahasiswa telah memberi kepercayaan kepada mereka sebagai ‘orang tengah’ yang bakal mewakili suara mahasiswa di Dewan Senat Universiti bersama ahli-ahli pengurusan USIM, dalam membangunkan agenda universiti serta sebagai ‘semak dan imbang’ keputusan yang dicapai terutamanya bagi agenda yang melibatkan peranan dan penglibatan mahasiswa.

Pengumuman keputusan rasmi oleh Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Sharaani bersama pengurusan universiti disampaikan di Dewan Kuliah Pusat Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dengan kehadiran calon-calon yang bertanding serta altras yang memberi sokongan hebat kepada calon masing-masing.

Naib Canselor turut mengucapkan tahniah kepada semua calon dan pengundi yang telah menjalankan tanggungjawab dan memastikan proses PRK ini berjalan lancar dan aman.

“Selepas ini kita akan berjumpa untuk bekerjasama dan berganding bahu meningkatkan kecemerlangan universiti, dan saya berharap amanah dan mandat yang diberikan ini dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi”, ujarnya lagi.

Sementara itu, calon yang mendapat undian tertinggi, Farah Baharudin menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pelajar yang telah memberi kepercayaan kepada beliau dan berharap agar manifesto yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sokongan daripada semua mahasiswa dan mahasiswi USIM.

Manakala bagi Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin, beliau tidak menjangka akan mendapat undian yang agak tinggi dalam kalangan mahasiswa. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang telah mencalonkan beliau dan beliau berhasrat agar dapat bersama-sama mahasiswa untuk meningkatkan kecemerlangan dan kualiti universiti dan dapat melihat USIM sebagai antara universiti terbaik di persada Asia Tenggara mahupun dunia. 

Seramai 9,644 mahasiswa daripada 11,517 yang layak mengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bermula pada pukul 8:30 pagi sehingga 5:30 petang secara fizikal dan juga secara dalam talian menerusi platform eUNDI.

Dalam pengundian tersebut, tiga fakulti yang mencatatkan peratusan mengundi tertinggi adalah Fakulti Pergigian iaitu sebanyak (100%), Fakulti Sains dan Teknologi (93.62%), dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (90%).

Turut hadir ke sesi pengumuman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor Antarabangsa dan Akademik Prof Dr. Mohd Radhi Ibrahim dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Encik Md Ishah Rahman.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan