DOHA, 20 Mac 2019 – Pendebat Bahasa Arab Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengharumkan nama universiti dan Malaysia apabila dinonatkan sebagai johan Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) di Doha, Qatar yang diumumkan keputusannya sebentar tadi.

Pendebat Bahasa Arab USIM dibarisi oleh Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Adam Fikry Bakru Razi, Siti Hamidah Hashim dan Suwaibah Mustapha. Muhammad Muzakkir dan Adam merupakan penuntut jurusan Undang-undang dan Syariah manakala Hamidah dan Suwaibah mengambil jurusan Bahara Arab.

Bertanding dalam kategori bukan penutur asal Bahasa Arab, pendebat USIM beraksi cemerlang diperingkat saringan apabila menewaskan pasukan debat dari University of Utah, (Amerika); University of Kerala (India); University New York (Amerika); Islamic University of Maldives (Maldives) dan European Institute of Human Science (German).

Pasukan USIM mengesahkan kemaraan ke pentas akhir apabila menewaskan pendebat Meridian Atuluku University, Turkey diperingkat separuh akhir sebelum cemerlang di pentas akhir mengalahkan pendebat University Calgary, Canada untuk muncul johan.

“Kejayaan ini dapat menebus kekecewaan USIM apabila hanya merangkul naib johan dalam kejohanan ini pada 2017. Kami berjaya mengekalkan momentum persembahan dan fokus terbaik pada setiap perlawanan dari peringkat awal sehingga akhir”.

“Tekanan itu memang ada tetapi kami dapat mengawalnya hasil latihan intensif individu dan berkumpulan, pembacaan, perlawanan debat persahabatan dan pengalaman menyertai pertandingan debat sebelum ini

“Ini kejayaan yang manis bagi kami dan jurulatih, Encik Ahmad Norsyafwan Norwavi dan terima kasih kepada Pengurusan Universiti, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan rakan-rakan Kelab Debat USIM atas doa dan sokongan yang diberikan” ujar Muhammad Muzakkir selaku ketua pasukan.

Sebagai juara, pendebat USIM menerima hadiah berupa piala dan sijil penghargaan dari penganjur iaitu Qatar Debate. Turut mencipta kejayaan berganda buat Malaysia apabila dua pendebat USIM iaitu Muhammad Muzakkir dan Suwaibah masing-masing tersenarai pendebat di ranking pertama dan kedua keseluruhan. IUADC yang diadakan secara dwi tahunan ini telah memasuki edisi kelima sejak mula dianjurkan pada 2011. Pertandingan yang bermula sejak 15 Mac lalu berakhir pada hari ini  dengan lebih 100 buah pasukan dari debat dari seluruh dunia menyertai IUADC yang berlangsung di Qatar National Convention Center, Doha.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032