NILAI, 7 April 2021 – Bersempena Majlis Pengiystiharan Konvokesyen Ke-18 pada 6 April 2021 di Universiti Sains Islam Malaysia, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Perubatan kepada Dato’ Dr. Ahmad Faizal Bin Mohd Perdaus dan Ijazah Kehormat Ijazah Kehormat Sarjana Sains Aktuari kepada Hassan Scott Odierno.

Dato’ Dr. Ahmad Faizal Bin Mohd Perdaus merupakan seorang doktor perubatan yang berjiwa kental dan bersemangat waja. Keperihatinan beliau terhadap masalah-masalah global di dunia menyebabkan beliau sangat aktif dan dikenali dalam aktiviti-aktiviti bantuan kemanusiaan. Penglibatan beliau dalam aktiviti bantuan kemanusiaan diterjemahkan dengan baik apabila beliau diberi kepercayaan sebagai Presiden, Malaysian Medical Relief Society (MERCY) dari tahun 2009 sehingga kini.

Beliau memperoleh Ijazah Doktor Perubatan (MD) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1989. Karier Dato’ Dr. Ahmad Faizal bermula sebagai pelatih doktor pakar di UKM dari tahun 1996 hingga 2000. Setelah menerima ijazah kepakaran dalam Perubatan Dalaman (M.Med) UKM, beliau menamatkan subkepakaran dalam bidang respiratori di universiti yang sama pada tahun 2003. Sepanjang beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Perubatan di UKM, beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan pada tahun 2004. Pada tahun 2006 hingga 2007, beliau juga telah dilantik sebagai Fellow of Sleep and Circadian Research Group, Woolcock Institute of Medical Research, Sydney Australia.

Kredibiliti beliau semakin terserlah apabila beliau telah dilantik sebagai Pakar Perubatan Respiratori untuk DYMM yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 2005 hingga 2006. Selain itu, beliau juga merupakan Pakar Perunding Pelawat (perubatan dalaman dan respiratori) Hospital Pakar Ampang Putri pada tahun 2007. Pada tahun 2009, beliau meninggalkan bidang akademik sebagai Pensyarah Perubatan (respiratori) untuk berkhidmat sebagai Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Respiratori dan Sleep Medicine di Hospital Pakar KPJ Johor Bahru.
Minat yang tinggi dalam aktiviti-aktiviti bantuan kemanusiaan mendorong beliau untuk menyertai MERCY pada tahun 2003. Kepimpinan beliau dalam MERCY semakin menyerlah apabila dilantik sebagai ahli exco pada tahun yang sama. Dato’ Dr. Ahmad Faizal sekali lagi diberi kepercayaan oleh ahli MERCY apabila beliau dilantik sebagai Presiden MERCY pada tahun 2009 sehingga kini.

Sepanjang bersama MERCY, beliau telah mengetuai MERCY Malaysia’s Drug Rehabilitation and Assistance Programme dari tahun 2003 hingga 2006. Program mulia ini bertujuan untuk membantu penagih-penagih dadah melalui proses pemulihan dan juga persediaan setelah bebas daripada najis dadah. Selain itu, beliau juga merupakan ahli lembaga Humanitarian Fund (HIF) dan juga Advanced Training Programme on Humanitarian Action (ATHA). HIF merupakan suatu dana antarabangsa yang ditubuhkan untuk membantu aktiviti-aktiviti kemanusiaan melalui jaringan kerjasama, kajian dan inovasi.

Dato’ Dr. Ahmad Faizal telah menyertai pelbagai aktiviti kemanusiaan dan perubatan di serata dunia. Sebahagian aktiviti yang telah beliau sertai ialah seperti di Sri Lanka (2003), Iran (2004), Sudan (2004, 2008), Indonesia (2005, 2006), Pakistan (2005), Myanmar (2008), Syria (2013), Filipina (2013) dan Turki (2017).

Pencapaian beliau yang terbesar dalam aktiviti kesukarelawan adalah apabila beliau dilantik sebagai warga Asia pertama menjadi Pengerusi International Council of Voluntary Agencies (ICVA). ICVA merupakan salah satu daripada tiga konsortium organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Inter-Agency Standing Committee (IASC). IASC ialah badan utama yang bertanggungjawab membuat sesuatu keputusan penting berkenaan aktiviti-aktiviti kemanusiaan secara global yang dipengerusikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah kelolaan Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan.

Dato’ Dr. Ahmad Faizal juga merupakan Pengerusi Professional in Humanitarian Action and Protection (PHAP). PHAP merupakan sebuah jaringan antarabangsa terbesar yang melibatkan individu-individu profesional dalam aktiviti-aktiviti kemanusiaan. Hasil sumbangan beliau dalam aktiviti kemanusiaan di dalam dan luar negara, telah melayakkan beliau dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh DYMM Sultan Azlan Shah pada tahun 2010.

Encik Hassan Scott Odierno dilahirkan pada 13 April 1969 di Amerika Syarikat dan merupakan salah seorang rakyat negara tersebut yang sangat terkenal dalam bidang insurans dan takaful. Beliau membesar dan mendapat pendidikan yang baik daripada keluarganya sehinggalah beliau berjaya dalam bidang yang diceburi. Kini, beliau menetap di Negeri Sembilan, Malaysia bersama dengan isteri iaitu seorang warganegara tempatan.

Beliau mendapat pendidikan peringkat diploma di Billerica Memorial High School pada tahun 1983 seawal usia 15 tahun. Keputusan cemerlang yang diperolehnya pada setiap tahun, membolehkan beliau mendapat diploma dalam tempoh tiga tahun, seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda pada tahun 1987 di  Worcester Polytechnic Institute.

Setelah tamat pengajian sarjana muda pada tahun 1991, beliau terus dipinang oleh Syarikat Insurans John Hancock di Singapura sebagai Penganalisis Aktuari untuk syarikat tersebut. Kepakaran beliau yang terserlah ketika usia yang muda menyebabkan beliau turut dilantik sebagai Penganalisis Aktuari untuk Syarikat Insurans Pelancongan Hartford Amerika Syarikat.

Selepas itu, beliau mula membina nama dalam banyak syarikat dan bank seluruh dunia sebagai Penganalisis Aktuari yang berperanan menentukan nilai produk syarikat insurans sama ada bersifat konvensional atau takaful. Antara negara yang pernah mendapat khidmat beliau ialah Hong Kong, Mauritius, Kenya, Tanzania, Uganda, Burundi, Brunei, Kemboja, Sri Lanka, Myanmar dan termasuklah Malaysia. Syarikat-syarikat di Malaysia yang terlibat dengan perkhidmatan beliau termasuklah Hong Leong MSIG Takaful, MNRB Retakaful, Munich Re Retakaful, AIA Takaful International Bhd, Sun Life Malaysia Takaful Bhd, ING Public Takaful Ehsan Bhd, Great Eastern Takaful Sdn Bhd dan AmMetLife Takaful Berhad.

Encik Hassan Scott Odierno tidak mengetepikan bakti terhadap pembinaan generasi pemimpin akan datang. Oleh itu, beliau telah menerima pelantikan sebagai penasihat bagi program pengajian di dua buah Universiti Awam iaitu Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia bagi Program Sarjana Sains (Sains Aktuari) dan (Pengurusan Risiko) di Fakulti Sains dan Teknologi.

Selain daripada tugas rasmi, Encik Hassan Scott Odierno turut bergiat aktif dalam bidang kesukarelawanan melalui organisasi bukan kerajaan (NGO). Setiap minggu, beliau akan memimpin pasukan sukarelawan untuk membantu gelandangan sekitar Kuala Lumpur dengan memberi bantuan makanan, semangat dan membantu mereka keluar daripada belenggu ketagihan dadah serta mencari pekerjaan untuk mereka. Semangat kemasyarakatan yang membuak ini, turut mendorong beliau untuk membangunkan “bank makanan” untuk rakyat Negeri Sembilan yang memerlukan bantuan. Usaha ini bermula daripada inisiatif beberapa sukarelawan untuk mengumpulkan lebihan barangan makanan daripada sebuah pasar raya di Negeri Sembilan dan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan di kawasan tersebut. Kini, usaha beliau disambut lebih daripada 80 sukarelawan daripada 18 buah pasar raya di enam bandar di seluruh Negeri Sembilan. Daripada usaha tersebut, koleksi bulanan barangan makanan yang dapat disalurkan kepada orang yang memerlukan telah melebihi 11 tan.

Kesibukan dalam urusan dunia tidak mengetepikan hubungan beliau dengan Allah SWT. Walaupun bukan anak watan Malaysia, namun khidmatnya kepada negara sangat luar biasa, selaras dengan prinsip beliau, dunia ialah tempat bercucuk tanam untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi. Mudah-mudahan, beliau diberkati dan terus berkhidmat untuk agama, bangsa dan ummah.

Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga USIM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas penganugerahan tersebut.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan