Pekanbaru, 6 Julai – Seramai 16 orang mahasiswa tahun 3 jurusan Matematik Kewangan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diiringi seorang pensyarah pengiring, Dr. Hishamuddin Abdul Wahab telah ke Pekanbaru bagi melaksanakan Pengembaraan Global Islamic Students Outreach (GISO): Misi Semarak Panji Mahasiswa Di Pekanbaru, Indonesia.

Menurut Pengarah Program GISO, Muhammad Afif Addanan berkata tujuan program ini bukan sahaja untuk mendedahkan mahasiswa kepada dunia luar tetapi juga bagi melahirkan mahasiswa yang peka serta prihatin dengan kebajikan masyarakat Islam di dunia khususnya di bumi Pekanbaru serta menyahut seruan USIM iaitu mengintegrasikan ilmu Aqli dan Naqli.

Dalam ucapan Dr. Hishamuddin, majoriti penduduk di Pekanbaru ini merupakan masyarakat Islam yang ekonominya agak baik berbanding daerah yang lain, tetapi institusi-institusi pendidikan mereka agak serba kekurangan. Namun ia bukan halangan untuk mereka mendapatkan pendidikan yang lebih baik.

Pengembaraan kali ini bukan terhenti setakat aktiviti bersama masyarakat sahaja, malah kumpulan ini turut mengagihkan sumbangan keperluan makanan serta barangan untuk diwakafkan kepada surau yang terpilih. Antara barangan yang diwakafkan adalah pakaian solat muslimah, sejadah dan kain pelikat. Selain itu, kumpulan ini telah memberi sumbangan wang kepada masyarakat di Desa Wisata Buluh Cina dan juga anak-anak di panti asuhan. Inisiatif ini merupakan salah satu cara untuk berkongsi rezeki antara kumpulan semarak panji dan warga masyarakat di pekanbaru ini.

Delegasi turut mendapat jemputan khas daripada En. Hardi Hamdin yang merupakan Konsulat Malaysia di Pekanbaru. Pertemuan yang berlangsung di Pejabat Konsulat Malaysia di Pekanbaru itu diisi dengan sesi perbincangan dua hala. Beliau berharap agar usaha murni sepanjang program ini dapat mencapai objektif dan memberi implikasi positif kepada para peserta.

Disediakan oleh:
Muhammad Afif Addanan
Pengarah Program GISO

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204