NILAI, 20 Ogos 2022 – Golongan pentadbir merupakan antara tulang belakang bagi pembangunan dan kemajuan sesebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Tidak mengira sama ada universiti swasta mahupun awam, tidak boleh dinafikan golongan pentadbir merupakan antara faktor pengukuh dalam memastikan sesebuah universiti dapat bergerak, beroperasi dengan lancar dalam mencapai matlamat dan objektif Pendidikan universiti yang telah ditetapkan.

Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Universiti Sains Islam Malaysia atau dikenali sebagai PRAGMATIS tidak ketinggalan dalam memantapkan peranan dan profesionalisme pentadbir khususnya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Terkini, penyertaan ahlinya dalam Konvensyen Pentadbir Universiti Awam Malaysia dan Majlis Anugerah Gemilang MASTI tahun 2022 yang bertemakan “Pentadbir Cemerlang Mencipta Masa Depan Gemilang” membuahkan hasil apabila persatuan tersebut membawa pulang dua anugerah pada konvensyen tersebut iaitu Anugerah Emas Program Persatuan Terbaik Universiti Awam dan Anugerah Perak Persatuan Terbaik Universiti Awam.

Presiden PRAGMATIS, Encik Mohd Salehudin Sukor berkata, “Pentadbir juga merupakan aset kepada universiti. Tanggapan pentadbir yang acap kali dilabel sebagai pekerja belakang tabir atau watak sampingan perlu diketepikan dan peranan mereka sebagai kakitangan kelas profesional seharusnya diperkasakan agar setanding dengan golongan kelas profesional yang lain dan seterusnya kekal bersama-sama membantu memberi sumbangan untuk perkembangan dan kemajuan perkhidmatan, pentadbiran dan ikhtisas universiti”.

Sebanyak 14 kertas kerja telah dihantar dan dibentangkan oleh PRAGMATIS pada Konvensyen Pentadbir Universiti Awam 2022 bertempat di Pulai Springs Resort, Johor Bahru.

Konvensyen Pentadbir Universiti Awam 2022 ini merupakan program dwitahunan yang dianjurkan oleh Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) bersempena sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia Peringkat Kebangsaan yang sebelum ini dianjurkan pada tahun 2016, 2018 dan 2020. Sebanyak 20 persatuan pentadbir universiti yang bernaung di bawah MASTI.

Perasmian majlis disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Prof. Dr. Husaini bin Omar serta pentadbir-pentadbir Universiti Awam.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan