NILAI, 14 Ogos 2017- Peranan kumpulan pentadbir dalam membawa hala tuju kecemerlangan universiti amat penting selama ini dan dihargai. Pentadbir ibarat bahagian-bahagian penting yang menjadi pelengkap kepada sebuah rumah yang didirikan. Melaluinya, fungsi sebuah rumah dapat dilihat, dirasai dan menjadi tempat berteduh yang baik kepada pelbagai pihak.

“Untuk memacu jauh universiti, ia memerlukan sinergi semua pihak yang berada di dalamnya termasuk pentadbir. Kerana itu pentadbir perlu menjiwai dan menyelami falsafah, misi dan visi universiti ini kerana dari situ baru akan lahir perasaan cinta dan pengorbanan seperti mewakafkan jiwa, masa dan kepakaran tanpa mengharapkan balasan. Inilah rasa keikhlasan yang kita ingin semaikan dan ia selari dengan konsep Kampus Barakah yang sedang kita terapkan,” ujar Profesor Dato Dr Musa Ahmad, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Pentadbir peringkat USIM anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM (PRAGMATIS) di Kompleks Islam USIM pada Isnin pagi. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan; Bendahari, Dato Haji Mohd Abdul Rashid Mohd Fadzil; Pengarah Pusat Islam, Dr. Khairul Anuar Mohamad dan Presiden PRAGMATIS, Encik Salehudin Sukor.

Menurutnya lagi, tanpa wujudnya rasa kebersamaan dikalangan warga universiti dan sifat berganding bahu bersama-sama, ia pastinya akan menjejaskan momentum kemajuan sesebuah universiti. Justeru beliau melontarkan cabaran kepada kepimpinan PRAGMATIS untuk mencari kaedah dan modul yang bersesuian untuk dipraktikkan diperingkat dalaman univerisiti bagi memantapkan lagi pemahaman dan rasa kecintaan kepada universiti.

Sementara itu, Presiden PRAGMATIS dalam ucapannya menzahirkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada Pengurusan Universiti kerana sentiasa memberi sokongan padu pada pentadbir USIM melalui pelbagai platform dan ruang untuk mereka memajukan diri dan kerjaya.

Sempena pelancaran sambutan Bulan Pentadbir USIM sepanjang Ogos ini yang bertemakan ‘Bangkitkan Semangat Baharu’, beberapa pengisian utama telah direncanakan. Bermula dengan Majlis Bacaan Doa Selamat dan Perasmian Sambutan Pentadbir USIM pada hari ini, ia diikuti dengan Syarahan Umum Revolusi Industri Keempat : Cabaran dan Peluang Menerui Perspektif Qalbu di Bilik Senat Universiti Kebangsaan Malaysia oleh Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abd Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM pada 17 Ogos nanti.

Profesor Tan Sri Dato Dzulkifli turut berbesar hati menjayakan program Biar Buku Bicara – A New Expanded Edition : Nurturing a Balanced Person The Leadership Challenge pada 22 Ogos bertempat di Galeri Hal Ehwal Pelajar USIM. Kemuncak sambutan adalah Majlis Sambutan Hari Pentadbir USIM 2017 yang akan berlangsung pada 29 Ogos di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204