Nilai, 25 November 2008 – Tanggal 25 November 2008 merupakan detik bersejarah yang membuka lembaran baru bagi semua warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila termetri secara rasminya Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia merasmikan Kampus Induk Universiti Sains Islam Malaysia. USIM merupakan sebuah Universiti Islam Malaysia yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada permulaan abad ke-21. Ia merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang ke-12 di Negara ini.
Dengan keluasan 634.13 ekar, Kampus Utama USIM yang terletak di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan berkembang pesat dengan pembangunan prasarana yang serba moden dan canggih. Buktinya beberapa bangunan penting telah siap dibina, di antaranya Bangunan Canselori, Dewan Kuliah, Bangunan Fakulti, Kompleks Sukan dan Pusat Kemudahan Pelajar.
Bersesuaian dengan imej USIM yang ketara dari segi penerapan nilai-nilai Islam, USIM mengaplikasikan unsur-unsur Islamik dalam cara penggayaan landskap. Penerapan tiga perkara atau unsur penting seperti corak geometri, unsur air dan laman dalam courtyard memberi kesan yang cukup bermakna dalam melahirkan rasa ketenangan, keharmonian dan kemanusiaan. Ketiga-tiga unsur itu jika dilihat dari segi corak geometri, reka bentuk fizikalnya adalah bersudut tepat dan sama rata walaupun disusun dalam pelbagai sudut. Gabungan bentuk itu secara tidak langsung membentuk arah tuju yang sekata iaitu menghadap kiblat yang mana merupakan salah satu keunikan seni bina di USIM.
Kini USIM mempunyai 8 buah Fakuti yang menawarkan 22 program pengajian yang berlandaskan kepada prinsip dan falsafah kesepaduan antara ilmu Aqli dan Naqli serta budi pekerti yang mulia merentasi semua bidang ilmu.
Dengan penyempurnaan secara rasminya Kampus Induk USIM, telah merealisasikan impian dan hasrat negara untuk menyaksikan pembukaan sebuah universiti Islam yang menjadi pemangkin yang efektif kepada pembangunan ekonomi dan anjakan minda masyarakat.
Oleh :
pro@usim.edu.my
8025/8026/8028