NILAI, 3 November 2021 – Memberi peluang kepada para sarjana membina jaringan ilmu merentasi pelbagai disiplin khususnya bahasa dan pendidikan dengan membawa tema “Bahasa dan Pendidikan: Norma Baharu”, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah mengadakan International Language and Education Conference (iLEC2021) baru-baru ini secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting. Majlis dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM.

Penganjuran persidangan ini memberi ruang kepada para ilmuan berkongsi amalan dan dapatan kajian sebagai rujukan dalam menghadapi cabaran-cabaran sejagat seperti pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia. Pada masa yang sama, persidangan ini memberikan penekanan bahawa pendidikan bahasa tetap relevan dalam apa jua situasi dengan memperkasakan tiga bahasa utama, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Selain itu, segala dapatan dan topik perbincangan yang direncanakan dapat diadaptasi dan dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat dan topik perbincangan yang dibentangkan dapat dijadikan sumber rujukan.

Dr Zoraida Mustafa, Pengarah Persidangan Bahasa dan Pendidikan berkata persidangan ini memberi peluang kepada lebih ramai peserta daripada pelbagai organisasi untuk berkongsi pandangan dan dapatan kajian masing-masing. Pandemik yang melanda dunia selama lebih dua tahun ini telah mengubah gaya hidup pelbagai lapisan masyarakat. Bidang pendidikan bahasa juga turut menerima impak yang besar dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran bahasa. Ini adalah kerana pengajian bahasa bukan sahaja merangkumi ilmu-ilmu terapan seperti linguistik dan budaya tetapi juga melibatkan kemahiran Bahasa.

“Sehubungan dengan itu, dengan penganjuran iLEC 2021, diharapkan dapat menjadi platform perkongsian penemuan kajian terkini, laporan-laporan daripada kajian tindakan dan lain-lain lagi. Pada masa yang sama, iLEC2021 juga menyaksikan pertandingan inovasi dalam kalangan penyelidik untuk mengemukakan idea-idea terkini dalam teknologi pendidikan bahasa. Saya berharap perhimpunan secara maya buat julung kalinya untuk iLEC2021 dalam fasa endemik ini, bakal menyumbang kepada perkembangan pendidikan bahasa di seluruh dunia dan Malaysia khususnya”.

.Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan