NILAI, 4 Mac 2021 – Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraikan pelajar yang menghadapi peperiksaan besar pada tahun ini seperti Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dengan mengedarkan 500 set alat tulis.

Menurut Pengarah di PPKP, Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin berkata, inisiatif pemberian set alat tulis kepada para pelajar merupakan sedikit buah tangan dari USIM sebagai tanda ingatan kami kepada mereka.

“Walaupun nilainya tidak besar, namun cukup menjadi ingatan dari kami kepada pelajar-pelajar ini untuk terus bersemangat menjawab peperiksaan dengan baik dan bersungguh-sungguh,” katanya.

“Kita tahu bahawa para pelajar yang menghadapi peperiksaan besar pada tahun ini mengalami sedikit kerisauan dan agak tertekan dengan pandemik Covid-19 yang melanda sehingga mempengaruhi sedikit sebanyak tumpuan mereka dalam pembelajaran,” katanya.

Mereka sebenarnya perlu menyesuaikan diri untuk menghadapi sesi pembelajaran secara maya melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Ini kerana kaedah pembelajaran secara maya adalah berbeza secara total dan di sinilah guru, ibu bapa dan masyarakat sekitar memainkan peranan dalam memberi sokongan.

Sebanyak 500 set alat tulis dan brosur kemasukan diedarkan kepada Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Sekolah Menengah Agama Nilai, Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Cempaka (Kelas Aliran Agama).

Dalam sesi pertemuan bersama Pengetua dan Kaunselor sekolah, rata-rata mereka mengharapkan agar USIM akan terus mengadakan pelbagai aktiviti kepada para pelajar di sekolah mereka agar sinergi dan hubungan ukhuwah antara pihak sekolah dan USIM terus utuh dan berpanjangan.

Kami di USIM sendiri juga baru-baru ini ada mengadakan sesi motivasi secara santai bersama Imam Muda Asyraf yang disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube USIM Admissions. Sesi yang diadakan pada 13 Februari selama satu jam setengah itu sehingga kini telah meraih 2000 tontonan,” katanya.

 

Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hasan
Timbalan Pengarah
Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP)
Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan