NILAI, 16 Okt 2014 – Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Pencegahan dan Rawatan Pemulihan Dadah (PREVENT 2014) telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam.

Seminar ini mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ini  telah menyediakan  platform, ruang dan peluang kepada tenaga pakar dan professional dari dalam dan luar Negara untuk berkongsi idea dan maklumat mengenai isu-isu berkaitan pencegahan dan perkhidmatan pemulihan dadah. Di samping itu, sebanyak 23 kertas kerja dari pelbagai IPT dan agensi dalam dan luar negara antaranya UIA, UTM, Universiti Brunei, Nigeria dan Filipina telah dibentangkan sepanjang dua hari seminar ini berlangsung.

Dato’ Asma Ismail berkata baru baru ini Negara telah dikejutkan dengan ancaman baru iaitu dadah sintetik yang boleh mengancam nyawa pengguna dan orang sekitarnya. Oleh itu, kaedah baru atau langkah-langkah yang lebih efektif perlu dilakukan untuk menangani masalah ini dengan segera.

Dato’ Asma menyatakan di peringkat kementerian mengakui bahaya penyalahgunaan dadah ini perlu diterapkan dalam pegajaran dan pembelajaran di semua peringkat. Beliau turut menyarankan agar masyarakat bersama-sama bagi memastikan keberkesanan usaha ini dilaksanakan dalam mencapai sebuah Negara yang bebas dadah.

USIM melalui pusat kecemerlangannya, Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) memainkan peranan dan tanggungjawab social kepada masyarakat berkenaan pencegahan dan pemulihan penyalahgunaan dadah dengan mengambil inisiatif menganjurkan seminar PREVENT tahun ini dengan tema “Amalan Bersepadu Dalam Pencegahan Dan Pemulihan Penyalahgunaan Dadah”.

Selain menyediakan platform perkongsian maklumat, pengalaman pencegahan penyalahgunaan serta kaedah pemulihan dadah. Pertemuan antara pelbagai pihak ini mampu menjana satu jalinan kerjasama ilmu serta pengalaman yang akan menyumbang kepada Negara dalam memerangi masalah dadah. Justeru, kaedah pelaksanaan rawatan pemulihan dadah yang berkesan serta efisien akan dapat dilaksanakan, dan hasrat Negara bebas dadah menjelang tahun 2015 akan dapat dicapai.

Turut hadir sama pada majlis perasmian ialah Naib Canselor USIM Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad, Ketua Pengarah AADK Dato’ Suhaimi Abdullah, Prof Dato’ Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Pengarah ACREDA Prof Madya Dr. Mohd Rushdan Jailani.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204