NILAI, 6 Januari 2019 – Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2021. Pelantikan ini dibuat bagi menggantikan Prof Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang telah tamat tempoh pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA) pada 31 Disember 2018 yang lalu.
Rushdan, mencatat sejarah apabila beliau menjadi staff USIM yang pertama dilantik sebagai TNC (HEPA) di USIM. Beliau yang memiliki ijazah PhD dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti of Exeter, United Kingdom ini dilantik sebagai TNC HEPA selepas tokoh kepimpinan beliau terserlah apabila beliau telah melaksanakan pelbagai tugas pengurusan dan pentadbiran dengan cemerlang.
Menerusi temubual bersama beliau, Rushdan berhasrat ingin memacu kecemerlangan mahasiswa dan alumni USIM untuk bersama-sama menaikkan imej USIM di dalam dan luar negara.
Kita sedia maklum bahawa mahasiswa dan alumni USIM yang berpengaruh dan berjaya di luar menjadi penanda aras kehebatan sesebuah institusi pendidikan. Ini kerana dalam konteks Universiti, alumni menjadi salah satu pemegang taruh yang penting untuk menaikkan imej Universiti. Selain itu, saya juga berhasrat ingin mewujudkan budaya menyumbang kembali kepada universiti sama ada melalui endowmen, kepakaran, pembangunan akademik, program sahsiah pelajar, jalinan kerjasama, promosi dan sebagainya, katanya lagi.
Selain itu, beliau juga ingin memberi fokus kepada keberhasilan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) di USIM dan ingin memperkukuhkan kompetensi mahasiswa dalam tiga aspek utama iaitu holistik, seimbang dan berkeusahawanan. Matlamat ini akan berjalan seiring dengan agenda memartabatkan ilmu dan memantapkan adab dalam kalangan mahasisiwa di USIM.
InsyaAllah pelbagai langkah strategik akan saya rangka untuk meningkatkan potensi mahasiswa USIM agar lebih proaktif dan positif supaya mampu mendepani cabaran di peringkat global, katanya lagi.
Menyingkap sejarah kepimpinan beliau yang terdahulu, anak jati negeri Perak ini pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah di Pusat Jaminan Kualiti, Dasar dan Kecemerlangan Akademik USIM (April 2018-Ogos 2018), Timbalan Pengarah di Akademik Kepimpinan Pendidian Tinggi (AKEPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (2015-2017), Pengarah di Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) pada 2012-2015, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (2010-2012), Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan (2008-2010) dan Ketua Program Dakwah dan Pengurusan Islam (2008-2010).
Walaupun diberi kepercayaan untuk memegang jawatan tertinggi, namun kejayaan dalam bidang akademik tetap seiring. Beliau juga aktif menerusi penulisan, penyelidikan, inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa dalam pelbagai bidang seperti Integrasi Sains dan Islam, Rawatan dan Pemulihan Dadah berteraskan terapi psikospiritual Islam, Isu-isu Dawah Semasa, Perbandingan Kerohanian dan Kepimpinan Pendidikan Tinggi. Sehingga kini, beliau ialah ahli bersekutu di Harvard Business School (USA) dalam bidang kepimpinan dan pengurusan sejak 2016.
Selain itu, beliau juga banyak menyumbang kepada pembinaan modul latihan kepimpinan akademik dan kepimpinan institusi bagi Institusi Pendidikan tinggi di Negara ini serta turut terlibat dengan aktif dalam memberi latihan kepemimpinan berasaskan Nilai (Qalbu) dan kepimpinan akademik kepada para kepimpinan dan pentadbir dari universiti-univeristi Awam dan Swasta di Malaysia.
Seluruh pihak pengurusan universiti sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan atas lantikan ini dan berharap beliau bersama-sama menyumbang kepada kejayaan USIM sebagai Kampus Barakah dan mempertingkatkan peranan alumni USIM untuk kembali menyumbang kepada alma mater.
Naib Canselor, Profesor Dato Dr. Musa Ahmad serta seluruh warga USIM merakamkan ucapan terima kasih kepada Prof Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan atas khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang berkhidmat sebagai TNC (HEPA).
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032