NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengumumkan pelantikan Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang Baharu oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2027 menggantikan Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff yang berakhir pada 15 Februari lalu.
Pelantikan rasmi beliau disempurnakan melalui sesi simbolik penyerahan kad staf Timbalan Naib Canselor (HEPA) di Lobi Canselori USIM sebentar tadi.
Prof. Madya Dr. Mushaddad merupakan ahli akademik kanan dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) USIM yang berpengalaman luas dalam bidang Syariah, khususnya dalam Undang-Undang Keluarga Islam, Faraid dan Pengurusan Harta Pusaka. Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2012.
Sepanjang perkhidmatan beliau, Prof. Madya Dr. Mushaddad telah memainkan peranan penting dalam pembangunan akademik dan pentadbiran universiti, termasuk pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), USIM. Beliau juga terlibat aktif dalam penyelidikan, penulisan ilmiah serta penggubalan modul dan kerangka dasar berkaitan pengurusan harta pusaka Islam.
Beliau turut dikenali menerusi penglibatan aktif sebagai pembentang dan penceramah di pelbagai seminar, persidangan serta forum nasional dan antarabangsa dalam bidang kepakaran beliau. Anugerah seperti Pingat Emas dalam pertandingan inovasi pembelajaran dan darjah kebesaran dari Kerajaan Negeri Kelantan dan Negeri Sembilan turut memperakui sumbangan beliau dalam bidang akademik dan masyarakat.
Pelantikan beliau sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM dijangka akan memperkukuh lagi peranan universiti dalam membentuk mahasiswa holistik dan memperluas jaringan alumni yang dinamik serta berdaya saing.
USIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Prof. Madya Dr. Mushaddad atas pelantikan ini.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani