Putrajaya – Pengiktirafan kepada sumbangan beliau yang banyak memberi inspirasi dan idea yang jitu kepada pembangunan masyarakat, YBhg. Professor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak telah diraikan dalam satu Majlis Penyampaian Anugerah  The Asia HRD Awards 2017 bertempat di Hotel Le Meridien, IOI City Putrajaya.

‘The Contribution to Society Award of the Asia HRD Awards 2017’ yang dianugerahkan kepada beliau adalah atas sumbangan kepada pembangunan masyarakat dengan menerajui inisiatif pendidikan dan pembelajaran dan memberi impak terhadap komuniti. Anugerah ini disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia serta turut diraikan oleh Pengurusan Universiti dan ahli keluarga beliau.

Profesor Tan Sri Dzulkifli berbesar hati menerima penghargaan ini dan menganggap ia merupakan kejayaan untuk semua pihak yang telah bersama-samanya bekerja dengan penuh berani dan kolektif untuk melihat pendidikan tinggi adalah lestari untuk semua pihak.

Anugerah tahunan anjuran SMR HR Group ini adalah untuk mempamerkan pencapaian dan membangunkan amalan terbaik dengan memperkayakan bidang pembangunan rakyat dan telah diadakan di Kuala Lumpur, Jakarta, Bahrain, Kuching, Bangalore dan Dubai sebelum ini. Pada tahun ini seramai 185 penerima anugerah dari 18 negara.

Pada baru-baru ini beliau menerima Pingat Gilbert 2017 sempena majlis makan malam gala di University of Nottingham, United Kingdom. Beliau menjadi penerima sulung dari Asia yang diberi penghormatan menerima penganugerahan tertinggi daripada Universitas 21.

Pada masa  kini beliau merupakan Presiden International Association of Universities yang berpangkalan di Paris, Perancis selain merupakan ahli World Academy of Art and Sciences (FWAAS) serta pernah berkhidmat sebagai ahli Panel Penasihat Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Dasar Dadah dan Pengurusan sejak 1995; dan Jawatankuasa Saintifik WHO Peraturan Produk Tembakau (2004-2006).

Manakala diperingkat negara antaranya Felo Akademi Sains Malaysia (FASc), Malaysian Institute of Malaysia (FMIM) dan Majlis Inovasi Negara.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204