NILAI, 22 Mei 2019 – Sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk bersempena Program Gotong-royong Bubur Lambuk Perdana anjuran Pusat Sukan dengan kerjasama Pusat Islam, Pusat Kesihatan, Koperasi, Pragmatis yang juga disertai oleh pelajar badan beruniform dari Unit Kor Siswa Bomba dan Palapes USIM.
Pengarah Pusat Sukan USIM, Encik Hamran Husin berkata, program bubur lambuk ini diadakan bagi meraikan Bulan Ramadan dan menghidupkan bulan yang mulia ini.
“Alhamdulillah, tahun ini kami mendapat sambutan yang agak meriah. Jadi dapatlah kami menjayakan program ini dengan beberapa aktiviti gotong-royong seperti mana yang telah dilaksanakan pada tahun sebelum ini,” ucapnya.
“Aktiviti ini dijalankan awal sehari bagi aktiviti memotong bawang, menghiris daging dan sebagainya sebagai persiapan acara memasak bubur lambuk yang diketuai oleh kakitangan Pusat Sukan USIM.”
Penyelaras Program, Nur Ekmal Buhary berkata matlamat Program Bubur Lambuk Perdana ini pada asalnya bagi mengisi waktu Bulan Ramadan secara kecil-kecilan selain bagi meraikan suasana Ramadan dan memanjangkan sedekah serta infaq kepada warga USIM dan masyarakat setempat yang kurang berkemampuan.
“Uniknya, pada tahun ini kami mendapat kerjasama beberapa pihak dan menerima sumbangan yang agak besar dalam bentuk wang dan tenaga malahan kita dapat membekalkan bubur lambuk yang lebih berbanding tahun lepas”.
Menurut beliau lagi, program berkenaan dirasmikan oleh Naib Canselor USIM, YBhg Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad bersama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, YBhf Prof Dato’ Dr. Roshada Hashim dan juga pengurusan tertinggi.
Sesi agihan bubur lambuk oleh badan uniform yang dan juga dari kakitangan Pusat Sukan USIM akan diedarkan di Pusat Sukan Tuanku Najihah kepada warga USIM termasuklah kakitangan, pelajar dan juga penduduk sekitarnya.
Disediakan oleh:
Syazwani Abd Manaf
Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032