IPOH, 7 Mac 2020 – Pusat Alumni dan Kerjaya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), dan Syarikat Al-Ikhsan Sport telah menganjurkan program Komuniti Pintar Alumni USIM-Al IKhsan@ Sekolah Agama Negeri Perak bertempat di Sekolah Izuddin Shah (SIS) dan juga di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh,Perak.

Program ini merupakan salah satu aktiviti Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) kepada sekolah-sekolah terutama di sekolah agama. Objektif program ini adalah membantu meningkatkan mutu pendidikan pelajar sekolah terutamanya dalam bidang sains, teknologi, matematik, perakauanan dan sebagainya. Selain itu, USR ini dapat menjalinkan kolaborasi Universiti, Industri dan Komuniti. Antara pihak industri yang terlibat dalam program ini ialah Syarikat Al Ikhsan Sports dan Firma Guaman SKM Associates.

Program ini telah berjaya menghimpunkan seramai 700 orang peserta dari tujuh buah sekolah agama di Negeri Perak iaitu Sekolah Izzuddin Shah, Sekolah Raja Perempuan Taayah, Sekolah Menengah Tahfiz Batang Padang, Sekolah Menengah Tahfiz Kerian, Sekolah Menengah Tahfiz Manjung, Sekolah Menengah Tahfiz Lenggong, dan Maahad Tahfiz Addin, Malim Nawar. Peserta terdiri daripada pelajar aliran sains, perakaunan, syariah dan undang-undang dari tingkatan tiga, lima dan enam. Ini merupakan program kerjasama kali kedua bersama syarikat berkenaan selepas program di Sekolah Kebangsaan Tok Motong, Jertih, Trengganu.

“Antara aktiviti yang dijalankan dalam Program Komuniti Pintar Alumni USIM-Al Ikhsan ini ialah Program Motivasi Bersama Al Ikhsan yang disampaikan oleh En Muhammad Ariff Yaaziz. Dalam slot ini, beliau telah memberikan ceramah berkaitan dengan kepentingan aspek penjagaan diri melalui sukan di samping menerangkan prospek kerjaya dalam bidang keusahawanan dengan menjadikan tokoh Syarikat Al Ikhsan sebagai model yang Berjaya dalam dunia perniagaan,” ujar En Mohd Asri Hj Husain, Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya.

Pusat Alumni dan Kerjaya, USIM juga telah menampilkan Alumni mereka iaitu Ustaz Mohd Hariri Mohamed Daud, Penolong Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memberikan motivasi kepada peserta. Dalam slot beliau, Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud memberikan tips-tips untuk Berjaya dalam bidang akademik khususnya dalam Bahasa Arab dan juga ko-kurikulum.

Pada program ini juga, Jawatankuasa Penganjur telah mengadakan program selari di mana pelajar telah dibahagiakan kepada beberapa kumpulan mengikut bidang pengajian masing-masing iaitu Slot Program Sains dan Matematik; Slot Program Ekonomi, Perakaunan dan Perniagaan, Slot Syariah dan Undang-Undang. Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP), USIM turut mengadakan sesi taklimat kemasukan ke USIM. Taklimat telah disampaikan oleh Prof Madya Dr Zainur Rijal Abdul Razak, Pengarah PPKP.

Selain daripada itu, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), USIM turut mengadakan Bengkel Asas Menyelamat dan juga membuat pemeriksaan kesihatan untuk kakitangan dan pelajar sekolah. Manakala FASTLab, USIM turut menyertai program ini dengan mengadakan demotrasi sains dan inovasi. Program ini adalah bagi menanamkan minat pelajar dalam bidang sains.

Menyedari bahawa kepentingan untuk membantu pelajar mendapat khidmat perundingan kerjaya dan akademik, Pusat Alumni dan Kerjaya, USIM telah berkerjasama dengan Fakulti Kepimpinan dan Pendidikan (FKP), USIM telah menganjurkan Bengkel Bimbingan dan Kaunseling kepada lebih 20 orang peserta yang terdiri daripada guru, warden dan mereka yang terlibat dengan pengurusan pelajar di sekolah. Bengkel ini telah dikendalikan oleh Profesor Dr Othman, yang juga Profesor di Program Pengajian Kaunseling, FKP, USIM.

Majlis Perasmian Penutup Program Komuniti Pintar Alumni USIM-Al Ikhsan@ Sekolah Agama Negeri Perak telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan JAIPk. Dalam ucapan penutupan program ini, beliau telah meminta supaya pelajar-pelajar dapat menggunakan peluang menghadiri program ini untuk belajar bersungguh-sungguh. Ini penting kerana program ini sebahagian daripada usaha untuk memberikan pendedahan kepada pelajar dalam pelbagai bidang kerjaya dan tips-tips Berjaya dalam akademik.

Dalam majlis penutupan program itu, pihak Pusat Alumni dan Kerjaya, USIM turut menyumbangkan buku-buku dan sebuah Little Free Library iaitu sudut bacaan kepada semua sekolah yang terlibat. Buku-buku adalah sumbangan daripada Penerbit USIM.

Disediakan oleh:
Pusat Alumni dan Kerjaya

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan