PUTRAJAYA -13 September 2018, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganjurkan Program Pentas Bahasa 2018 untuk semua organisasi yang berada di bawah KPM. Program ini adalah bersempena dengan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan turut mendapat kerjasama dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara pertandingan yang dijalankan ialah, pertandingan deklamasi sajak, deklamasi syair dan pertandingan berbalas pantun.

Pertandingan yang diadakan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) ini disertai oleh kakitangan dari pelbagai agensi di bawah KPM seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Majlis Kelayakan Malaysia (MQA) dan banyak lagi. Program yang bertemakan “Warisan” ini adalah salah satu usaha KPM untuk terus melestari bahasa dan budaya Melayu agar terus subur dalam generasi muda.

Pertandingan yang dijalankan selama sehari itu menyaksiakan pasukan pantun dari Universiti Sains Islam Malaysia (Kolej PERMATA Insan) menjadi Juara Berbalas Pantun menewaskan pasukan daripada Majlis Kelayakan Malaysia (MQA) di peringkat akhir. Tempat ketiga pula adalah milik Universiti Putra Malaysia (UPM). Pasukan membawa pulang piala dan wang tunai RM1,000.

Selain dapat terus memperkasa bahasa Melayu, program seperti ini juga dapat mengeratkan ukhwah di antara kakitangan agensi di bawah KPM. Para peserta dapat berbual mesra dan bertanding secara sihat dalam memperkasa seni budaya bangsa. Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Datuk Dr. Rohana Yusof, Pengarah AKEPT.

 

Disediakan oleh:
Adlyizan Theis
Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032