Seramai 30 orang pelajar tahun akhir USIM telah membuktikan keupayaan mereka menawarkan khidmat perundingan kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) melalui program “SME-University Internship” dengan kerjasama SME Corp. Malaysia.

Program yang buat julung kalinya diadakan di USIM ini merupakan satu jalinan kerjasama di antara dua kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian PengajianTinggi (KPT). Melalui kerjasama ini, pelajar-pelajar universiti menawarkan khidmat nasihat dan rundingan kepada syarikat-syarikat SME bagi meningkatkan prestasi serta memajukan perniagaan syarikat-syarikat tersebut.

Y.Bhg. Dato’ Hafsah Hashim, Ketua Eksekutif SME Corp. Malaysia berkata “Matlamat utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan sinergi hubungan di antara pihak universiti sebagai pusat kecemerlangan dan juga pihak industri di Malaysia melalui kerjasama yang sistematik.” Beliau menambah “Pelaksanaan program yang bersifat ‘win-win situation’ ini, bukan sahaja dapat membantu pihak industri dalam meningkatkan prestasi syarikat bahkan juga dapat memupuk dan meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar universiti mengenai budaya keusahawanan.”

Program “SME-University Internship” USIM telah berlangsung selama lebih daripada 4 bulan bermula pada pertengahan bulan Ogos 2010. Pada hari Sabtu 19 Februari 2011, satu sesi pembentangan akhir telah diadakan dihadapan barisan juri daripada SME Corp, Kementerian Pengajian Tinggi, SME Bank dan PUNB. Pembentangan akhir tersebut menunjukkan keupayaan pelajar-pelajar USIM membantu meningkatkan prestasi syarikat dari segi peningkatan jualan berikutan aktivit-aktiviti promosi dan pemasaran yang lebih berkesan, pengurusan akaun syarikat yang lebih sistematik, dan susunatur premis yang lebih kemas dan mesra pelanggan.

Pelajar-pelajar yang menyertai program ini berpendapat program ini amat berharga kerana mereka dapat menimba banyak pengalaman dan mengetahui selok-belok perniagaan sebenar. Disamping itu, mereka dapat menggilap kemahiran berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran bekerja dalam kumpulan.

Oleh:

MAHDHIR BIN ABDULLAH
Pensyarah, Fakulti Ekonomi & Muamalat
Pengarah, Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa
Universiti Sains Islam Malaysia