NILAI, 26 Mac 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkul Anugerah Emas Terbaik melalui projek pemangkin taraf sosio ekonomi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam Majlis Anugerah Kongres Duta Jauhar 3.0 baru-baru ini.

Duta Jauhar USIM membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000, piala iringan, piala individu dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pada kongres yang diadakan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MITEC di Bandar Seri Alam.

Projek tanaman Cendawan Tiram Kelabu “Enhancing Potential of People With Disabilities” menggunakan pendekatan National Blue Ocean Strategy (NBOS) dalam usaha membantu 15 golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Batu Pahat.

Pengarah projek Muhammad Sollehin Md Satar berkata, berdasarkan kajian, golongan OKU sukar mendapat kepercayaan daripada majikan menyebabkan kebanyakan mereka berpendapatan rendah dan kurang berkeyakinan.

‘’Melalui projek ini peserta OKU diberikan bangsal, peralatan, serta latihan secara teori dan praktikal mengenai penanaman dan penjagaan cendawan. Mereka dilatih sehingga menjadi pengusaha cendawan berjaya oleh Duta Jauhar dan mentor projek, Puan Poinem Touman,” katanya.

Dalam kongres itu, USIM juga turut dinobatkan pemenang Anugerah Komitmen Universiti Terbaik, pemenang Anugerah Perak melalui projek Ladang Air dan pemenang dua Anugerah Penyelia Terbaik iaitu Professor Madya Dr. Fuadah Johari, pensyarah Fakulti Eknomi dan Muamalat.

Majlis Anugerah Kongres Duta Jauhar 3.0 menyaksikan persaingan sihat antara 28 buah projek berimpak tinggi daripada 21 buah IPT seluruh negara yang mencatatkan penglibatan sejumlah 420 orang Mahasiswa, 100 buah agensi kerajaan dan swasta serta lebih 2,000 orang ahli masyarakat.
Program Duta Jauhar diilhamkan bagi memberi peluang kepada anak muda termasuk mahasiswa menyertai usaha meningkatkan kedudukan sosioekonomi masyarakat khususnya di Johor.

Disediakan oleh:
Nur Amalina Misnan

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204