PUTRAJAYA – 1 November 2019- Sebagai tanda menghargai dan apresiasi kepada rakan strategik USIM Sasterawan dan Budayawan Negara, Pusat Kebudayaan USIM mengambil inisiatif menganjurkan julung kalinya program Puisi Kafe sebagai medium diskusi secara santai dan ekslusif mengenai sastera,  budaya, nyanyian puisi dan lagu rakyat serta dendangan syair Islami bertempat Coffea Coffe, IOI City Mall Putrajaya.

Program Puisi Kafe mengambil inspirasi kejayaan program Sembang Pohon Keranji (SPK) bersama Sasterawan Negara ke-6, YBhg Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh yang telah dilaksanakan di kediaman beliau bermula sejak tahun 2016 hingga tahun 2019.

Turut diraikan kehadiran Sasterawan Negara YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan dan YBhg. Prof. Dr. Siti Zainon Ismail bersama Budayawan Negara Roslan Madun.

Naib Canselor USIM Prof Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, satu penghargaan dan terima kasih atas kehadiran tetamu istimewa yang menyokong program anjuran USIM khususnya Pusat Kebudayaan.

“USIM ini dapat dilihat sebagai institusi bukan sahaja medan ilmu dan tetapi juga saya lihat ia sebagai ‘solution provider’ dan pelengkap kepada universiti dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli bersama-sama agenda seni budaya. Saya akan terus menyokong usaha ini bagi membawa USIM ke peringkat yang lebih tinggi” tambah Prof Ridza.

Selain dendangan puisi dari Sasterawan Negara dan nyanyian lagu rakyat oleh Budayawan Negara dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Universiti, Prof Ridza buat pertama kalinya turut mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Tanah Airku’ karya Prof. Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh (Prof Adjung USIM).

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Lembaga Pengarah Prof Dato Dr Siddiq Fadzil, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Pengarah Pusat Kebudayaan Encik Ismail Ahmed dan Karyawan Seni USIM Dato Nash dan Syed Indera Syed Omar (Siso).

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan