NILAI, 12 Februari 2019 – Pusat Alumni dan Kerjaya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan program Sumbang Saran Alumni USIM bertempat di Galeri Bangunan Hal Ehwal Pelajar USIM. Program tersebut disertai kira-kira 40 alumni USIM dari pelbagai latar belakang kerjaya antaranya dari ahli akademik, pegawai kerajaan, eksekutif swasta, teknologi maklumat dan usahawan berkampung selama sehari di USIM untuk berkongsi idea dan cadangan bagi merencana halatuju alumni USIM.
Julung kali diadakan, Pusat Alumni dan Kerjaya menganjurkan sesi sumbang saran ini atas objektif untuk mengumpulkan alumni-alumni yang berada diseluruh pelosok tanah air untuk bersama-sama membantu memberikan input, cadangan, idea, komen dan sebagainya bagi membantu pengurusan Pusat Alumni dan Kerjaya khususnya berkaitan alumni.
Sehingga Majlis Konvokesyen USIM pada tahun lalu, USIM kini mempunyai seramai 20,056 alumni di dalam dan luar negara semenjak kumpulan pertama graduannya dilahirkan pada 2003. Menurut Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya, Encik Mohd Asri Husain, bengkel ini juga menjadi platform untuk Pengurusan Universiti dapat berjumpa dengan alumni universiti agar wujudnya hubungan muhibah antara kedua belah pihak.
“Ia juga dapat membantu kita untuk mengemaskini rekod dan dokumentasi alumni USIM agar maklumat alumni ini akan dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama dalam pelbagai perkara” ujarnya.
Pada bengkel ini, para alumni turut diagihkan dalam beberapa kumpulan khas perbincangan untuk memberikan input-input kepada Pusat Alumni dan Kerjaya dalam topik khusus yang telah ditentukan. Topik yang dipilih dan dibentangkan kepada pengurusan ialah Penjenamaan alumni; Pakej kesejahteraan alumni;Pengkalan data dan portal alumni; dan Keusahawanan dan industri alumni.
Topik lain yang turut dibincangkan juga ialah penjanaan dan tabung alumni ; dan projek khas alumni. Alumni yang hadir turut berpeluang mendengar ucaptama daripada mantan Naib Canselor pertama USIM, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin. Turut berkongsi harapan dengan alumni yang hadir adalah Naib Canselor semasa, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad. Majlis penutup sesi sumbang saran ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Jailani dan bersama hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah USIM, Encik Mohd Hariri Mohamad Daud.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032