NILAI, 17 Oktober 2022 – Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 17 Oktober 2022 bertempat di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Aras 5, Bangunan Canselori. Delegasi GIACC diketuai oleh YBhg. Datuk Aziz Aban, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Strategik) bersama dengan Bahagian Penyelidikan Antirasuah dan Bahagian Komunikasi dan Media.

Lawatan ini diadakan bertujuan untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani di samping memberi penghargaan dan terima kasih kepada USIM di atas penglibatan penyelidik dari USIM untuk projek penyelidikan di bawah GIACC. Dua kumpulan penyelidikan dari USIM ini telah berjaya membentangkan hasil penyelidikan pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah di Pusat Konvensyen Movenpick pada bulan Mac 2022 yang lalu.

Naib Canselor USIM telah meluangkan masa bersama dengan GIACC dengan memberi pengenalan kepada USIM yang mengetengahkan integrasi ilmu naqli dan aqli dan pembangunan projek USIM Podcast yang boleh melibatkan kolaborasi antara USIM dengan GIACC. Pihak USIM dan GIACC turut membincangkan halatuju bagi tahun hadapan untuk pelaksanaan program-program dalam bentuk penyelidikan, seminar, persidangan meja bulat dan sesi perkongsian berkaitan dengan governans, integriti dan antirasuah.

Turut serta daripada pihak USIM pada sesi perbincangan ini adalah YBhg. Dato’ Pendaftar, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Ketua Unit Integriti SCIROSH dan dua orang Ketua Penyelidik USIM bagi penyelidikan GIACC Sektor Etnik Orang Asli diketuai oleh Prof. Madya Dr. Izawati binti Wook dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang serta penyelidikan Sektor Institusi Agama diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mahazan Abdul Mutalib @ Taib dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Pada akhir sesi ini, pihak GIACC telah menyerahkan sijil penghargaan kepada semua penyelidik USIM yang telah banyak membantu dalam menjayakan projek-projek penyelidikan GIACC.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan