NILAI, 1 Disember 2022 – Bertemakan Memimpin Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Seminar Antarabangsa Islam dan Sains (SAIS) 2022 kali ke-5 bertempat di Dewan Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Program yang diterajui oleh Persatuan Kakitangan Akademik USIM (PKAUSIM) dengan kerjasama Fakulti Syariah dan Undang-undang serta Institut Fatwa dan Halal ini telah disertai oleh seramai 164 pembentang kertas kerja daripada pelbagai bidang disiplin dalam dan luar negara.

Sebanyak lapan sub tema yang dibentangkan merangkumi bidang pendidikan, sosial, sains kesihatan, teknikal dan agama selaras dengan isu semasa.

Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sahrifuddin Md Sharaani berkata, tema yang dipilih kali ini sangat bertepatan dengan isu semasa masa kini, di mana kita perlu menerima perubahan sebagai peluang baharu dan bersedia untuk mengubah cara kita beroperasi untuk bersaing dengan berkesan.

“Kita juga perlu memastikan kualiti dan keberkesanan kerja menjadi tonggak utama atas apa yang kita dilakukan dalam tugasan yang diamanahkan”, ujarnya lagi dalam ucapan perasmian.

SAIS 2022  merupakan platform bertukar-tukar idea, pemikiran dan pengetahuan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan Islam dan Sains. Usaha ini boleh dilihat sebagai salah satu usaha penyelidik dan ahli akademik untuk mengintegrasikan kedua-dua disiplin Naqli dan Aqli dalam mendepani implikasi pandemik COVID-19 dan melangkah ke Revolusi Perindustrian ke-4.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan