NILAI, 14 APRIL – Dianggarkan seramai 500 jemputan menghadiri Simposium Antarabangsa Mengenai Kerjasama, Toleransi dan Dialog Kontemporari anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Muslim World League (Liga Islam Sedunia) bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Quran dan Sunnah (FPSS).

Simposium yang diadakan bersempena Penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa yang dinamakan King Salman Centre for International Peace (KSCIP) melibatkan Kementerian Pertahanan Arab Saudi dan Malaysia, Muslim World League (Liga Islam Sedunia) dan USIM.

Ia bertujuan mewujudkan kesarjanaan serta sebagai platform bagi ahli kepakaran kalangan ahli-ahli akademik dari dalam dan luar negara ke arah kecemerlangan akademik dan penyelidikan antara Malaysia dan Muslim World League selain merupakan intelektual dan penyampaian saranan untuk membincangkan isu-isu kepentingan sepunya ke arah tindakan bersama melalui wacana kepakaran.

“Penubuhan KSCIP mesti dibuat dalam tempoh 90 hari. Ia bakal menjadi mercu tanda utama kerana pertama kali dalam sejarah dunia ia bukan sahaja fokus kepada aspek ketenteraan tetapi ada juga elemen akademik,” ujar YB Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.

“Gabungan intelektual dan pertahanan penting bagi berhadapan dengan serangan ekstremisme dan terorisme serta bagaimana nak hadapi dari segi ideologi. Pusat ini akan memainkan peranan utama dalam berhadapaan elemen keganasan dan salah tanggapan tentang kefahaman Islam yang sebenar,” tambahnya lagi.

Menurut Dr Muhammad Abdul Kareem Al-Issa dalam ucaptamanya, beliau melahirkan rasa berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Arab Saudi yang sama-sama mengambil prihatin isu keamanan global dalam pembangunan projek ini.

Beliau turut berkongsi pandangan visi dan misi pusat yang akan ditubuhkan antaranya untuk membentuk kedamaian serta wadah penyelesaian kepada salah faham masyarakat Islam sendiri yang terpengaruh dengan ideologi keganasan dengan penerapan aspek Wasatiyah iaitu kesederhanaan pada masa yang sama meraikan kepelbagaian agama dan kaum.