JEMPOL, 9 April 2018 – Bagi mendekati dan merapatkan lagi hubungan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama masyarakat Negeri Sembilan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM mengambil inisiatif menganjurkan program Khidmat Masyarakat Jelajah DUN USIM 2018. Melalui program berbentuk jelajah yang disertai oleh mahasiswa USIM ini, mereka akan bersama masyarakat kampung terpilih di seluruh negeri ini untuk melaksanakan pelbagai program berbentuk khidmat masyarakat.

Pada 7 April, Sabtu lalu, Majlis Perasmian Khidmat Masyarakat Jelajah DUN USIM 2018 telah diadakan bertempat di Kampung Serting Ulu, Jempol yang disempurnakan oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM.

“Secara amnya, program Jelajah DUN ini melibatkan sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri di dalam Negeri Sembilan. Kami juga merangka beberapa program sampingan khusus untuk Negeri Sembilan iaitu program Jelajah Daerah dan Jelajah Kejiranan. Bagi Jelajah Daerah ia melibatkan tujuh daerah di Negeri Sembilan, manakala Jelajah Kejiranan melibatkan sembilan kejiranan di kawasan sekitar Nilai”.

“Program ini sejajar dengan output USIM untuk menjadi nombor satu di hati dan di minda masyarakat. Secara tidak langsung, kesemua program ini dapat mengeratkan lagi hubungan para pelajar USIM dan dengan komuniti setempat,” ujar Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

Program dimulakan pada awal pagi dengan YAM Tunku Ali Redhauddin berkenan untuk bersama-sama siswa USIM dan kira-kira 200 orang penduduk setempat dan pelajar sekolah sekitar untuk mendaki Bukit Beruang yang terletak berdekatan Taman Rekreasi Serting Ulu. Pendakian ini juga merupakan simbolik kepada Perasmian Bukit Beruang sebagai Destinasi Pelancongan Rekreasi Daerah Jempol.

Turut bersama mendaki bersama Pro-Canselor adalah Naib Canselor USIM dan Pegawai Daerah Jempol, Dato’ Haji Zazali Salehudin. Turut serta juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Zulkiple Abdul Ghani.

Dalam pengisian seterusnya, YAM Tunku Ali Redhauddin turut berkenan bergotong-royong bersama penduduk kampung dan siswa USIM untuk menceriakan Masjid Kariah Serting Ulu. Di masjid ini juga, Pro-Canselor USIM turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada USIM berbentuk barangan dapur kepada para asnaf di kampung ini.

Aktiviti lain yang turut dijalankan untuk penduduk kampung adalah pemeriksaan kesihatan oleh Urusetia Perubatan Perlindungan Pelajar, Pusat Kesihatan USIM, kem tahsin solat bersama Sekretariat Pusat Islam USIM, kem motivasi dan sukaneka anjuran Pusat Sukan USIM. Pada sebelah malamnya selepas solat Maghrib diadakan forum khas agama, persembahan kesenian oleh Urusetia Kesenian Pelajar USIM dan diikuti dengan majlis perasmian penutup.

Kejayaan penganjuran program sulung Khidmat Masyarakat Jelajah DUN USIM 2018 bersama penduduk kampung Serting Ulu ini hasil kerjasama erat dengan Pejabat Daerah Jempol dan Jawatankuasa Kerja Kampung Serting Ulu.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204