NILAI, 4 MAC 2016 – Mahasiswa  Tahun Pertama program Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil pendekatan melaksanakan “Kempen Bebas Multilevel Marketing (MLM) dan SkiM Cepat Kaya (SKM) : Jangan Bazirkan Wang PTPTN Anda!”.

Kempen yang bermula pada Isnin lalu (29 Februari 2016) berakhir secara rasmi pada semalam (3 Mac 2016) bertujuan memberi kesedaran kepada para mahasiswa USIM yang menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa  dan lain-lain pinjaman kewangan pendidikan untuk tidak dilaburkan dalam mana-mana MLM dan SKM.

Kempen dimulakan dengan pelancaran konvoi kenderaan mahasiswa oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dengan mengunjungi kawasan tumpuan di dalam kampus seperti Pusat Kemudahan Pelajar, fakulti dan perhentian bas bagi mengedarkan poster kempen. 

Pengisian lain sepanjang kempen ini berlangsung adalah sesi ‘Speaking Corner’ bersama Pegawai daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) dan wakil-wakil mahasiswa. Kemuncaknya adalah wawancara ‘Dilema MLM dan Skim Cepat Kaya” yang berlangsung di Dewan Kuliah Empat.

Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan memuji inisiatif yang diambil mahasiswa untuk melancarkan kempen ini. “Kita mahukan kempen ini memberi kesedaran awal kepada mahasiswa untuk tidak terjebak dengan MLM dan SKM, manakala yang sudah menyertai tidak meneruskannya lagi”.

“Tidak salah menceburi dunia perniagaan dan pelaburan, tetapi bukannya menggunakan wang pembiayaan pendidikan yang diterima. Pelajar universiti merupakan sasaran utama dan mudah menjadi mangsa kepada skim perniagaan berbentuk penipuan (scam) ini. Mereka mengaburi para mahasiswa seolah-olah ia adalah MLM atau SKM yang sah malahan menggunakan pendekatan agama untuk menarik ahli”.

“Pengurusan Universiti  menyedari ada mahasiswa kita yang telah terjebak dan menjadi mangsa kegiatan tidak bertanggungjawab dan merugikan ini. Walaupun tiada angka rasmi, tetapi kegiatan ini dipantau universiti dan kempen seperti ini amat disokong pelaksanaannya,” ujar beliau.

Hamim Musa, 20, melahirkan rasa simpati terhadap orang ramai diluar sana termasuk mahasiswa universiti yang tertipu dengan MLM dan skim cepat kaya. “Pembiayaan pendidikan sepatutnya digunakan untuk kegunaan pelajaran seperti membeli buku, alat tulis dan lain-lagi. Menawarkan keuntungan yang mudah dan singkat memang mengaburi mata, tetapi sebagai mahasiswa universiti, tidak boleh terus percaya dan melaburkan wang pendidikan mereka”.

Pelaksanaan kempen kali pertama ini mendapat respon positif daripada warga kampus dan ia diharapkan memberi keyakinan kepada mahasiswa USIM khususnya untuk tidak mudah terpengaruh dengan pelawaan mana-mana pihak untuk menyertai skim seperti ini.

 

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204