NILAI, 26 April 2018 – Menyedari bahawa kesedaran masyarakat terhadap pengurusan pembuangan minyak masak terpakai dan penggunaanya yang kerap untuk tempoh lama mendatangkan mudarat, ia menjadi idea keusahawanan kepada sekumpulan siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Terdiri daripada lapan orang ahli, mereka menggerakkan kumpulan mereka yang dinamakan Allinol Oil di bawah aktiviti keusahawanan sosial yang dikendalikan oleh Encatus USIM. Kumpulan yang mula ditubuhkan pada 2013 ini telah mengambil satu inisiatif dengan menjalankan aktiviti pengumpulan minyak masak terpakai dari pengguna sekitar Nilai, Negeri Sembilan.
“Melalui pemerhatian kami, kebanyakan minyak masak terpakai dibuang secara salah seperti dituang sahaja ke dalam sinki. Malahan tidak dinafikan juga segelintir peniaga yang menggunakan minyak masak yang banyak untuk menggoreng makanan akan menggunakannya berulang kali atas alasan menjimatkan modal sedangkan ia tidak baik untuk kesihatan”
“Melihat kepada permasalahan ini, kami datangkan solusi yang sesuai menggunakan pendekatan keusahawan sosial. Keusahawanan sosial ini konsepnya kita membantu menyelesaikan isu yang berbangkit di kawasan sekitar dengan pelbagai inisiatif sesuai. Pada masa yang sama, kita dapat menjana pendapatan secara tidak langsung. Melalui ahli kumpulan dapat mengasah kemahiran insaniah, komunikasi dan menyantuni masyarakat” ujar Liyana Rosman.
Menurut siswi Sarjana Muda Quran dan Multimedia, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah ini, melalui usaha mereka, masyarakat secara tidak langsung mula di didik bahawa bukan sahaja kertas, kaca dan plastik sahaja boleh dikitar semula. Projek yang dicetuskan oleh Allinol Oil ini telah membantu dalam mengatasi masalah pembuangan minyak masak terpakai yang kerap dilakukan mereka sebelum ini.
Minyak masak terpakai sebenarnya boleh dikitar semula menjadi minyak bio-diesel, sabun dan lilin. Pada masa kini, minyak masak yang dikumpul akan dihantar ke sebuah syarikat yang bekerjasama dengan mereka iaitu UNI10 Energy untuk diproses menjadi bio-diesel sahaja.
Mereka juga mempunyai perancangan untuk menyediakan satu pusat khas pengumpulan minyak masak terpakai ini yang dinamakan sebagai “Oil House” berdekatan Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM. Lokasinya yang strategik akan memudahkan warga USIM dan masyarakat Nilai untuk menghantar minyak masak terpakai kepada mereka.
Menurut ahli kumpulan ini, proses pengumpulan minyak masak terpakai di premis atau kediaman dibuat apabila terdapat permintaan sahaja kerana mereka memfokuskan pengumpulan dari premis di dalam kampus.
Projek keusahawanan sosial mereka ini memberi impak yang besar dalam membantu masyarakat menjaga kesihatan mereka. Ia juga melestarikan alam sekitar apabila dapat mengawal pencemaran akibat pembuangan sisa minyak masak terpakai secara tidak terurus sebelum ini.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan mereka di talian 013-4495369 atau 019-9131656. Semoga usaha murni mereka ini menjadi contoh kepada rakan-rakan siswa-siswi Institusi Pengajian Tinggi seluruh yang lain.
Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204