SISWA USIM SANTUNI MASYARAKAT “HOMELESS” DI NEW ZEALAND

NILAI, 4 Ogos 2018 – Program khas pengantarabangsaan Global Islamic Student Outreach (GISO) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuka ruang kepada 13 orang siswanya menjalankan misi kemasyarakatan menyantuni minoriti Muslim di New Zealand baru-baru ini. Program ‘The Adventurous Wilderness Experience in The City of Sails New Zealand’ ini merupakan program sulung GISO USIM ke negara berkenaan. Ia adalah anjuran kelab Urus Setia Latihan Pembangunan Mahasiswa (ULPM) USIM dengan kerjasama Muslim Care Global dan Adabi Corporation.

Pengarah program, Muhammad Amirul Ashraf Noorazman berkata, misi selama lapan hari bermula 28 Julai sehingga 4 Ogos 2018 memberikan pengalaman baru dan sangat bermakna kepada delegasi siswa yang terlibat kerana aktiviti yang dijalankan bukan sahaja mengkhususkan kepada minoriti Muslim, tetapi juga memberikan khidmat bakti kepada masyarakat “homeless” yang bukan Muslim melalui kerjasama St. Paul Church dan Islamic Centre di Taupo.

“Pelbagai aktiviti dan pengisian dijalankan seperti sesi pembelajaran iqra’, mempelajari komunikasi bahasa arab, ‘Quran hour’, memperkenalkan budaya Malaysia dan banyak lagi bersama masyarakat Muslim di Masjid At-Taqwa, Manukau dan Islamic Centre di Taupo”.

“Bukan itu sahaja, yang menariknya lagi delegasi siswa kelab ULPM menyediakan hidangan masakan tempatan Malaysia kepada masyarakat Muslim di Islamic Centre dan kepada golongan “homeless” di St. Paul Church di bumi New Zealand itu” ujarnya.

Bagi salah seorang peserta yang turut serta, Nur Nadia Mohd Asari amat berterima kasih kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM yang menyediakan platform GISO buat beliau dan rakan-rakan lain menimba pengalaman baharu.

“Melalui GISO, ia adalah aktiviti kesukarelawanan yang berkait rapat dengan tuntutan agama Islam iaitu saling membantu sesama insan dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara. Pengalaman yang paling bermakna bagi delegasi kami adalah menyediakan hidangan tempatan seperti nasi, kari daging, sup ayam, teh tarik dan pelbagai lagi di kawasan gereja. Ia merupakan sesuatu yang baru bagi kami dan kami melihat itu sebagai satu medan dakwah untuk menunjukkan imej Islam yang sebenar kepada masyarakat disana.” Katanya penuh teruja.

Sambil berbakti, kesempatan berada di negara yang terkenal dengan pemandangan alam semulajadi ini membuatkan mereka turut mencuri masa melawat beberapa lokasi menarik dan mendekati budaya dan masyarakat New Zealand. Para pelajar ini turut melahirkan penghargaan kepada Muslim Care Group dan Adabi Corporation kerana sudi libat sama dan turut menyumbang dana untuk program yang memberikan banyak manfaat kepada semua terutama masyarakat di New Zealand. Semoga penglibatan dan usaha murni sepanjang program, dapat mencapai objektif dan memberikan impak positif kepada semua terutama kepada delegasi siswa yang terlibat.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032

 

2018-08-10T17:01:33+00:00