NILAI, 5 FEBRUARI 2016 – Sekumpulan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) daripada Fakulti Sains dan Teknologi selamat kembali ke tanah air pada petang semalam selepas menjayakan misi kemanusian untuk pelarian Syria yang mendapat perlindungan di Lubnan. Seramai 11 orang mahasiswa tahun akhir ini terlibat dalam program Global Islamic Student Outreach (GISO) USIM bermula 29 Januari lalu sehingga 4 Februari 2016.

Selama lima hari di sana, kumpulan pelajar GISO USIM ke Lubnan ini telah menyampaikan sumbangan kemanusiaan kepada pelarian Syria di sana hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin berjumlah hampir RM 100,000.

Sebanyak empat lokasi kem pelarian diziarahi kumpulan pelajar ini untuk agihan sumbangan kemanusiaan iaitu yang terletak di Ketermaya (satu kem) dan Biqaa (tiga kem) selain turut tertumpu kepada kawasan penempatan pelarian Syria yang miskin seperti di kawasan Alitahfich dan pusat jagaan anak yatim dan miskin.

Misi kemanusian GISO USIM di Lubnan ini turut memberi perhatian kepada aspek bantuan pendidikan kepada kanan-kanak pelarian di sana antaranya mengunjungi sebuah sekolah yang menempatkan kira-kira 300 pelajar dengan 50 peratus daripadanya adalah pelarian Syria. Kumpulan ini turut mengambil peluang melawat dua buah universiti iaitu Aljinan University dan Arts, Science and Technology University.

Sumbangan yang diberikan kepada pelarian Syria ini berbetuk keperluan harian antaranya selimut, barang makanan asas, pakaian tidur tebal, baju musim sejuk, mesin basuh, alat tulis dan permainan untuk kanan-kanak dan kerosin untuk kegunaan alat pemanas. Turut diberikan adalah sumbangan kewangan kepada perpustakaan sekolah (USD 1000) dan keperluan perubatan (USD 5000).

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Profesor Dr. Norita Md Norwawi yang turut serta dalam misi kemanusian ini sebagai pengiring melahirkan rasa syukur kerana misi ini berjalan lancar dan dapat disempurnakan. “ Misi bantuan kemanusian untuk membawa bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria di Lubnan pada awalnya dirancang pada 2015 tetapi ditunda atas beberapa perubahan saat akhir. Sukar dirakamkan rasa dihati atas pengalaman mahal sebagai pengiring program ini dan moga usaha kembara ini diberkati Allah SWT.”

Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama Malaysia Life Line for Syria, Global Peace Mission Malaysia dan ABIM. GISO USIM yang diperkenalkan pada 2011 memfokuskan kepada pengisian libatsama komuniti (community engagement) yang melibatkan pemindahan dan perkongsian ilmu antara mahasiswa USIM dengan komuniti Islam di luar negara. Sehingga 2015, sejumlah 112 pengembaraan GISO dilaksanakan melibatkan 2,233 pelajar dan menjangkaui 18 buah negara.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204