NILAI, 29 April 2019 – Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merasakan satu keperluan bagi memberi pendedahan teknik penulisan dan seni fotografi kepada semua Pusat Tanggungjawab (PTj) di USIM bagi menyalurkan maklumat program fakulti, jabatan dan info terkini kepada masyarakat dan pengguna di laman sosial.
Seramai 57 peserta dari kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), wakil persatuan pelajar serta staf USIM menyertai Bengkel Penulisan Berita Media Sosial yang dianjurkan oleh StraComm bertempat Galeri Hal Ehwal Pelajar baru-baru ini.
Media sosial adalah salah satu platform yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan para pengguna dengan mudah untuk menyertai, berkongsi, dan mencipta kandungan meliputi blog, rangkaian sosial, dan forum kepada masyarakat di seluruh dunia.
Menurut Pengarah StraComm Dr Hayati Ismail, bengkel ini sangat signifikan memandangkan penyebaran maklumat di media sosial yang begitu pantas dicapai oleh semua pengguna yang mempunyai akaun seperti facebook dan instagram.
”Dengan penganjuran bengkel ini peserta diberi panduan dan teknik berkaitan penulisan ringkas di media sosial, dan teknik mengambil gambar menggunakan telefon pintar. Saya berharap dengan pendedahan ini para peserta yang terpilih ini akan menggunakan peluang yang ada untuk menyalurkan perkembangan aktiviti yang dijalankan untuk penyiaran berita USIM dan media massa dan elektronik untuk dikongsikan kepada komuniti di luar sana”, jelas Dr Hayati.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari ini disampaikan oleh penceramah dari agensi media Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Sibermedia Encik Ainol Amriz Ismail, yang bertajuk ’Penulisan Kreatif’, Encik Saiful Abd Samad Timbalan Pengarah Goal-Itqan dengan tajuk ’Pengurusan Media Sosial Rasmi USIM’, En Zaini Othman Ketua Unit Protokol dan Pengurusan Acara StraComm ’Teknik menyediakan posting ringkas yang menarik dan interaktif’ dan Encik Yusrizal Mohd Yunus jurufoto StraComm bertajuk ’Teknik mengambil gambar menggunakan telefon pintar di media sosial’.
Sehingga hujung bulan April 2019, USIM telah mempunyai seramai 26 ribu followers di Instagram, 6,803 followers di twitter dan 151 ribu followers di facebook.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan