SINTOK, 18 Februari 2019 – Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengembara jauh ke utara pada baru-baru ini iaitu ke Sintok, Kedah untuk melihat lebih dekat Anjung Tamu Universiti Utara Malaysia (UUM). Anjung Tamu UUM atau Welcome Centre yang beroperasi sejak 2014 yang terletak dilokasi yang agak strategik di pintu utama UUM sememangnya menarik perhatian tetamu untuk datang berkunjung ke sini.

Lawatan penanda aras Stracomm ke UUM ini disertai seramai 24 kakitangan bertujuan mendapatkan informasi mengenai kemudahan yang terdapat di Anjung Tamu UUM yang dikenali sebagai gerbang maklumat utama kepada tetamu yang berkunjung ke universiti tersebut. Stracomm USIM sebagai jabatan yang memainkan peranan menjadi penyampai dan penghubung di antara USIM dengan pihak luar dan pemegang taruh sentiasa ingin menambahbaik fungsi penting ini dari semasa ke semasa.

Stracomm USIM mempunyai perancangan untuk mewujudkan satu ruang khas di kampus sebagai galeri universiti yang memaparkan pelbagai informasi mengenai universiti seperti sejarah pembangunan, maklumat pengurusan, kejayaan warga universiti dan pelbagai lagi. Apabila galeri ini dapat direalisasikan kelak, ia akan menjadi tempat yang bukan sahaja akan dikunjungi oleh para pelawat luar tetapi warga universiti juga untuk mengenali USIM lebih dekat.

“Kita memilih untuk melihat Anjung Tamu UUM ini kerana ia ibarat pusat sehenti yang wajib dilawati oleh tetamu universiti itu, justeru konsep dan idea menarik ingin kita terjemahkan dan realisasikan pada galeri USIM”.

“Selain diberi taklimat mengenai pelbagai kemudahan yang terdapat di Anjung Tamu UUM, delegasi kami juga di bawa melawat ke Galeri UUM di Bangunan Canseleri, Muzium Pengurusan UUM dan Managers Coffee. Lawatan penanda aras ini mencapai objektifnya kerana kita mendapat banyak input-input yang amat bermanfaat untuk dijadikan rujukan. Terima kasih kepada Unit Komunikasi Korporat UUM yang sudi menerima kunjungan Stracomm dan mengaturkan pengisian lawatan kami di sini” ujar Encik Norazhar Zainal Abidin selaku Pengarah Program.

Sebelum berkunjung ke UUM, kakitangan Stracomm  sebelum itu berbengkel selama dua hari satu malam di Pulau Langkawi untuk merencana dan menetapkan petunjuk prestasi jabatan bagi tahun 2019.

Menurut Pengarah Stracomm, Dr Hayati Ismail, bagi memastikan sinergi Stracomm menepati harapan Pengurusan Universiti dan pemegang taruh, usaha penambahbaikan berterusan bagi aktiviti perkhidmatan jabatan sedia ada perlu sentiasa dikemaskini. Katanya lagi peranan dan fungsi baharu juga perlu sentiasa diterokai agar Stracomm menjadi sebuah jabatan yang relevan dan memenuhi kehendak semasa dan memenuhi jangkaan yang ditetapkan.

Selain pengisian bengkel, kakitangan bersama ahli keluarga masing-masing turut mengambil peluang berkunjung ke beberapa lokasi menarik tumpuan pelancong di pulau berkenaan. Antara lokasi yang dilawati ialah Gunung Mat Cincang, Pantai Chenang, Under Water World Langkawi, kedai memproses minyak gamat asli dan Pekan Kuah.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032