NILAI, 2 Mei 2018 – Pasangan suami isteri mahasiswa dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati kategori pelajar dalam satu Majlis Anugerah Sukan USIM 2017 yang berlangsung di Pusat Sukan Tunku Najihah USIM.

Mohamad Ali Imran Che Yashin, 27 menyumbang pingat Emas dalam Kejohanan Pencak Silat Piala TPM peringkat  Kebangsaan 2017 dan pasangannya Nur Fazira Fadzil, 25 menyumbang pingat gangsa Taekwando dalam Kejohanan Sukan MASUM 2017.

Penganugerahan ini merupakan kali kedua buat Mohamad Ali Imran Che Yashin apabila pertama kali menerimanya pada tahun 2013. Pasangan ini berkenalan semasa dalam latihan sukan lebih kurang dua bulan dan terus melangsungkan perkahwinan selepas itu. Mereka membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM300.

Majlis anjuran Pusat Sukan dengan kerjasama Majlis Sukan Kakitangan USIM ini merupakan kali ke-4 diadakan bagi menghargai sumbangan dan komitmen yang diberikan oleh pelajar, staf, jurulatih dan individu yang telah memberikan sumbangan yang cemerlang dari segi prestasi serta pencapaian  sukan selain memberi motivasi kepada atlet-atlet di USIM agar sentiasa menigkatkan pencapaian mereka di peringkat tertinggi serta komitmen USIM kea rah meningkatkan mutu dan pencapaian sukan di peringkat IPT dan negara.

Sebanyak 9 kategori Anugerah yang disampaikan dalam majlis tersebut iaitu Anugerah Bintang Harapan Pelajar, Jurulatih Terbaik, Tokoh Kempimpinan Sukan USIM, Olahragawan dan Olahragawati staf dan pelajar, Sekalung Budi dan Anugerah Khas.

Bagi Anugerah Bintang Harapan Pelajar (Lelaki) disandang oleh Mohammad Ammar Abdul Halim, Olahragawan dan Olahragawati Staf disandang oleh Saiful Azizi Musa dari Pusat Perumahan Pelajar dan Dr. Norhidayah Azman Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi. Manakala jurulaih terbaik disandang oleh Encik Dzulnizam Sogol iaitu jurulatih Silat Olahraga.

Turut disampaikan Anugerah Khas bagi memberi pengiktirafan kepada individu yang memberi sokongan, motivasi dan sumbangan dari segi pencapaian dan penglibatan dalam sukan mahupun komuniti. Mereka ialah Prof Madya Dr Alina Abdul Rahim pensyarah FST yang memberi sokongan dari segi motivasi dan kewangan kepada atlet taekwondo, dan Zulfarhan Rafiee mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan yang mewakili IPT Malaysia di Kejohanan Futsal Universiti Asia-Pasific 2017 di China tahun 2017 dan terpilih menjalani sesi latihan & Pemilihan Pasukan PST-IIUM Mustangs Futsal bagi persiapan menyertai Kejohanan Universiti Dunia (WUC) 2018 di Kazakshtan pada Ogos nanti.

Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad dalam ucapannya turut menggalakkan penglibatan warga universiti dalam aktiviti sukan sebagai salah satu wadah bagi membentuk dan meningkatkan sahsiah yang berupaya melonjak diri dan karisma serta meningkatkan keberhasilan produktiviti dalam kerja-kerja seharian di samping melahirkan kakitangan USIM yang mempunyai minda yang cerdas dan tubuh yang sihat.

Prof Dato Dr Musa Ahmad turut mengumumkan bayaran insentif akan diberikan kepada pasukan staf yang memenangi pingat Emas bermula tahun 2017 iaitu sebanyak RM3000. Pasukan yang menerima isentif tersebut adalah Pasukan Berbasikal dan Pasukan Catur.

Turut hadir Prof Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) selaku Pengerusi Pemilihan Anugerah Sukan USIM 2017 dan Encik Hamran Husin Pengarah Pusat Sukan.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204