NILAI, 28 April 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam semalam secara hibrid melancarkan Sudut Buku USIM di Perpustakaan UNISSA yang juga turut menyaksikan sejumlah koleksi buku UNISSA turut ditempatkan di Perpustakaan USIM sebagai timbal balik.

Program pertukaran buku di antara USIM dan UNISSA ini pada awalnya digerakkan oleh pihak Penerbit USIM dengan langkah awal bermula apabila Penerbit USIM bertindak menghubungi Penerbit UNISSA bagi menyampaikan hasrat untuk memberikan sumbangan buku-buku terbitan USIM. Berikutan hasrat tersebut, maka Penerbit UNISSA juga berhasrat memberikan sumbangan buku kepada Perpustakaan USIM.

Objektif utama program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memperkayakan koleksi perpustakaan yang akan memberikan nilai tambah kepada pembudayaan intelektual, kesarjanaan dan penyebaran ilmu di institusi masing-masing. Selain itu, program ini juga boleh membuka peluang kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, terutamanya berkaitan penerbitan dan penyelidikan.

Program pertukaran buku USIM-UNISSA ini jelas menyokong kepada pembangunan koleksi perpustakaan dalam konsep Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (iNaQ) USIM. Buku-buku yang diterima adalah bertepatan dengan program di USIM, seperti bidang Islam, Fatwa, Ekonomi dan sebagainya.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya berkata, “Kita dapat menghayati konsep prosumerisme dalam konteks sumbangan atau waqaf buku. Buku-buku yang diterima daripada para penyumbang bukan sahaja untuk dirujuk dan diguna pakai, malah ilmu-ilmu yang diperoleh melalui buku-buku yang dirujuk ilmunya akan disebarluaskan dan perkongsian ilmu akan berlaku dalam kalangan masyarakat dan seterusnya menjadi rujukan umum”.

“Apabila kita merujuk kepada artikel “Adaptation From Prosumerism Idea In Conceptualizing The Benefidonors Concepts” yang menjelaskan Concept of Benefidonor yang diinspirasikan melalui Concept of Prosumers, ia boleh dikaitkan juga dengan manfaat sumbangan atau wakaf buku seterusnya memberi impak besar kepada masyarakat, khususnya warga USIM sesuai dengan konsep Donate More, Use More, Share More“. Jelas beliau lagi.

Selain sudut buku, satu projek penerbitan juga sedang giat dijalankan dan akan selesai dalam masa terdekat kerjasama antara Penerbit dan juga pihak penulis kedua-dua institusi. Bagi pihak Penerbit USIM sendiri, hasrat untuk meneruskan sumbangan buku ini akan dilaksanakan secara berterusan kepada Perpustakaan UNISSA pada setiap tahun.

Hadir sama ke majlis pelancaran tersebut termasuklah Dr Haji Norarfan Bin Haji Zainal, Rektor UNISSA, Puan Norhasinah Binti Haji Moksin, Ketua Perpustakaan UNISSA serta wakil Pengurusan USIM.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan