SEGAMAT, 9 Mac 2023 – USIM telah menggerakkan sekumpulan sukarelawan dengan kekuatan sejumlah 35 orang pelajar dan 7 orang staf bagi membantu mangsa banjir di daerah Segamat, Johor yang bermula semalam.

Penyelarasan bantuan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH) dan USIM tidak ketinggalan bersama Universiti Awam yang lain untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Misi bantuan kali ini adalah bagi tujuan pembersihan lokasi dan menyampaikan sumbangan ‘Bakul Rahmah’ yang mengandungi bekalan asas harian kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara terpilih.

Menurut Ketua Pasukan Misi Bantuan Banjir Encik Mohd Fazhiruddin Kamaruddin, melalui kerjasama dari Jabatan Pendaftar yang diketuai oleh Dato’ Muhammad Haizuan Rozali serta Pusat Wakaf dan Zakat USIM, sejumlah 200 Bakul Rahmah dan 100 Bakul Bantuan Persekolahan yang bernilai RM23,000 telah disumbangkan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan.

Sementara itu, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) turut melahirkan rasa syukur dan bangga dengan pelajar USIM yang menjadi sukarelawan walaupun ketika dalam tempoh cuti semester. Pelajar-pelajar ini sanggup bangun dan bersiap seawal jam 4.30 pagi untuk sama-sama menggembleng tenaga memberikan bantuan kepada kumpulan masyarakat yang memerlukan.

”USIM sentiasa peka dengan keperluan semasa, dan cakna terhadap masyarakat terutamanya apabila melibatkan kawasan yang ditimpa bencana serta sentiasa berusaha untuk membantu dalam apa jua keadaan. Semoga lebih ramai pelajar memiliki semangat waja dan berempati dari kalangan warga USIM”, ujarnya lagi.

sumber: PHEP

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan