NILAI – Para pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menyertai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) boleh membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mencegah berlakunya kes jenayah dengan dengan menyalurkan maklumat penting kepada pihak berkuasa.

Sebagai para pelajar yang mengambil kursus berasaskan kepolisan, Kor Suksis USIM boleh menjadi mata dan telinga kepada PDRM untuk melaporkan kes-kes jenayah yang berlaku di dalam kampus khususnya dan komuniti sekitar.

Saranan ini disuarakan oleh ACP Samad Yahya, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan dalam Majlis Amanat dan Angkat Sumpah Anggota Baharu Kor Suksis USIM yang berlangsung pada Rabu.

“Indeks jenayah telah menunjukkan penurunan tetapi reaksi dan persepsi masyarakat pula berlainan apabila mereka masih merasakan jenayah makin meningkat dan keselamatan tidak terjamin. Ini menjadi cabaran kepada JPJKK untuk memperbetulkan persepsi ini dan Kor Suksis boleh memainkan peranan memperbetulkan kerisauan masyarakat ini bersama kita” ucap beliau di hadapan 200 pelatih Kor Suksis yang hadir di majlis ini.

“Polis kini telah berusia melewati 200 tahun, tetapi kita sentiasa terbuka dengan segala cadangan untuk penambahbaikan kepada pasukan. Justeru saya mempelawa kepada para pelatih Kor Suksis USIM untuk menyertai pasukan PDRM selepas bergraduasi nanti kerana dengan latar belakang pendidikan agama dan disiplin beruniform yang dimiliki, pastinya ia satu kelebihan yang kita cari”, tambahnya.

Beliau turut menasihati para pelajar untuk berhati-hati dalam penggunaan media sosial untuk mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan ekstremis seperti Daesh. Menurutnya, kumpulan seperti ini sentiasa mencari peluang merekrut golongan muda khususnya yang berlatar belakangkan pengajian agama Islam dengan pandai memanipulasi media sosial untuk tujuan ini.

Dalam pertemuan ini juga, JPJKK Negeri Sembilan turut melahirkan ucapan tahniah dan berbangga dengan pencapaian cemerlang Kor Suksis USIM apabila menerima Anugerah Khas Ketua Polis Negara untuk Skuad Kor Suksis Terbaik dan Pelatih Terbaik Keseluruhan Universiti Awam pada baru-baru ini.

Turut bersama dalam pertemuan ini adalah Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Komandan Kor Suksis USIM; Pegawai Kanan PDRM, Pegawai Kehormat Kor Suksis dan jurulatih.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204