NILAI, 29 Oktober 2020 – Buat julung kalinya, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Seminar Warisan Nabawi (SWAN) Peringkat Antarabangsa kali ke-7  Tahun 2020 secara maya (Virtual) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Seminar yang berlangsung pada 29 dan 30 Oktober 2020 pastinya melakar sejarah baharu kerana ini merupakan kali pertama penganjurannya dilaksanakan sepenuhnya secara digital iaitu dengan menggunakan platform Zoom dan Channel YouTube.

Majlis perasmian secara telesidang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan juga Tuanku Canselor KUIPs.

Bertemakan “Peaceful Co-Existence in Religious Diversity from Prophetic Paradigm: Challenges and Opportunities”, SWAN 2020 telah berjaya menghimpunkan seramai 96 pembentang dari pelbagai latar belakang, bidang dan negara antaranya Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia dan Malaysia. Persidangan ini bertujuan menghimpunkan para cendekiawan untuk membincangkan isu berkaitan Sunnah dan fungsinya sebagai asas toleransi demi kesejahteraan umat seluruhnya. Di samping itu, ia berperanan penting dalam menjernihkan pandangan orang luar terhadap tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam yang dikatakan menaja keganasan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika bertitah merasmikan persidangan SWAN 2020, memaklumkan bahawa seminar seumpama ini dilihat amat penting dan signifikan dalam memberi kefahaman tentang pentingnya berpegang teguh kepada ajaran Rasulullah SAW ke arah pembentukan keamanan khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama. Baginda turut berharap agar seminar ini mampu untuk terus menjadi platform bagi membincangkan dilema dan cabaran dunia Islam hari ini serta mencambah peluang dan idea positif yang praktikal sebagai solusi menghadapi isu semasa. Tuanku Raja Muda juga berharap agar SWAN ini dapat memperjelaskan pandangan orang luar yang mempercayai bahawa agama Islam melalui al-Quran dan Sunnah mampu memberi jalan keluar kepada permasalahan yang dihadapi, selain; mampu membawa idea dan ciptaan cemerlang untuk merealisasikan kehebatan sunnah sebagai dasar toleransi dan menerapkan penghayatan dan pembangunan jati diri masyarakat dalam rangka ke arah menjadi sebuah negara moden dan berintegriti.

Dalam pada itu, menurut Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, SWAN kali ini merupakan mekanisme yang berfungsi mengetengahkan keupayaan sunnah dalam memupuk kesejahteraan ummah, di saat dunia berhadapan dengan norma baru bagi menghadapi Covid-19. “Moga idea dan perkongsian daripada para pembentang tidak akan terhenti sekadar cetusan buah fikiran, teori dan resolusi sahaja, malah pelaksanaannya harus dijelmakan agar menjadi resipi penyelesaian masalah dan manual kejayaan umat Islam khususnya dan dunia amnya”, ujar beliau.

Sementara itu, Dr. Nurulwahidah Fauzi merangkap Pengarah seminar mengulas, SWAN 2020 ini juga dilihat sebagai satu usaha dalam menerapkan Sunnah yang merangkumi amalan, adat dan tradisi Nabi Muhammad SAW kepada masyarakat. Tambah beliau, hasil daripada seminar ini diharapkan dapat mendorong para sarjana untuk bertukar hasil kerja hingga pada akhirnya akan menghasilkan projek, penyelidikan, pendidikan dan bidang pekerjaan global yang lain.

Diharapkan dengan berlangsungnya seminar ini, idea-idea yang bernas serta penemuan-penemuan yang bermanfaat dapat dijana dan dibincangkan demi menzahirkan kehebatan Sunnah sebagai sumber asas toleransi dan kesejahteraan.

Disediakan oleh:
Dr. Maisarah Saidin
Setiausaha SWAN 2020

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan