NILAI, 7 Oktober 2021 – Bertemakan “Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Mendepani Cabaran Global”, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Kudus, Jawa Tengah, Indonesia bekerjsama dalam menganjurkan Seminar Wahyu Asas Tamadun (SWAT) Kali Ke-7.

Program yang dijalankan secara dalam talian ini berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 oktober 2021 melibatkan lebih 100 pembentang dari pelbagai negara antaranya Indonesia, Algeria, Sigapore termasuk Malaysia.

Pengucaptama disampaikan oleh Yang Berhormat Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapan perasmiannya berkata, tema kali ini bertepatan dengan pelbagai isu global yang dihadapi oleh umat sejagat, termasuklah cabaran era pandemik, revolusi industri 4.0 dan pendidikan abad ke-21. Kesemua isu dan cabaran ini secara langsung merubah lanskap kehidupan beragama, sosial, pendidikan seterusnya melahirkan norma baharu dalam kehidupan seharian kita semua.

Menurut beliau, SWAT dilihat sebagai platform dan wadah utama para penyelidik membentangkan hasil kajian terkini dalam lapangan pengajian Islam secara umum dan pengajian Quran dan Sunnah secara khusus.

“Eksplorasi serta hasil-hasil kajian yang dilaksanakan diharapkan akan mampu untuk menyerlahkan realiti sesuatu situasi dan membantu dalam penyelesaian isu yang pelbagai khusus dari perspektif Islam”.

“Hal ini selari dengan hasrat dan objektif penghayatan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli di USIM bagi sektor penyelidikan, seminar, penerbitan, latihan industri dan seumpamanya”, ujarnya.

Dato Ridza juga berharap seminar ini mampu memberi impak akademik yang relevan, membina jaringan intelektual antara para pembentang pada peringkat serantau dan antarabangsa, seterusnya bersama-sama mendokong hasrat murni USIM dalam menyemarakkan konsep dan amalan paduan antara Ilmu Naqli dan Aqli sebagai asas penyelidikan dalam mendepani pelbagai cabaran sama ada lokal dan juga global.

Turut hadir program secara dalam talian ini adalah Dr. H. Masrukhin Dekan Fakultas Ushuluddin, Institut Agama Islam Negeri Kudus, Indonesia, dan Profesor Madya Dr. Mohd. Zohdi Mohd. Amin Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

 

 

 

2021-10-08T01:56:14+08:00

Share This Story, Choose Your Platform!

Go to Top