TAN SRI DATO’ PROF. DZULKIFLI ABDUL RAZAK DILANTIK PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH USIM

Laman Utama/TAN SRI DATO’ PROF. DZULKIFLI ABDUL RAZAK DILANTIK PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH USIM

NILAI, 1 April 2016 – YB Menteri Pendidikan Tinggi bersetuju untuk melantik Tan Sri Dato’ Prof. Dzulkifli Abdul Razak sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu. Pelantikan beliau menggantikan Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin yang telah mengakhiri tempoh lantikannya pada 31 Mac 2016 sejak dilantik mulai 2012.

Dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah USIM ketiga sejak Universiti ini ditubuhkan pada tahun 2000, Tan Sri Dato’ Prof. Dzulkifli Abdul Razak Tokoh dilantik untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 April 2016 hingga 31 Mac 2019.

Dikenali dan dihormati sebagai ahli akademik pengajian tinggi tersohor negara, beliau amat berpengalaman luas dalam dunia akademik serta pentadbiran pengajian tinggi dalam dan luar negara. Kepimpinan beliau terserlah semasa menerajui Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Naib Canselor selama 11 tahun dan berjaya meletakkan universiti tersebut berstatus APEX (Accelerated Programme for Excellence) dan satu-satunya universiti awam di negara ini berstatus demikian.

Di peringkat antarabangsa,  beliau kini merupakan Presiden International Association of Universities yang berpangkalan di Paris, Perancis, ahli World Academy of Art and Sciences (FWAAS), pernah berkhidmat sebagai ahli Panel Penasihat Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Dasar Dadah dan Pengurusan sejak 1995; dan Jawatankuasa Saintifik WHO Peraturan Produk Tembakau (2004-2006). Manakala diperingkat negara antaranya Felo Akademi Sains Malaysia (FASc), Malaysian Institute of Malaysia (FMIM) dan Majlis Inovasi Negara.

Nilai keilmuan yang dimilikinya kerap beliau kongsikan dengan masyarakat melalui penulisan di media yang menyentuh pelbagai isu penting berkaitan pendidikan, sains dan peristiwa semasa antaranya merupakan kolumnis akhbar New Straits Times sejak tahun 1995 lagi dan terkini akhbar The Sun.

Sebelum dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Prof. Dzulkifli Abdul Razak telah mempunyai hubungan langsung dengan USIM sebelum ini apabila dilantik  sebagai penyandang Kursi Akademik Kepemimpinan Islam dan Felo Utama di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Pihak Universiti mengucapkan setinggi tahniah kepada Tan Sri Dato’ Prof. Dzulkifli Abdul Razak atas pelantikan ini kerana mempercayai bahawa daya kepimpinan dan pengalaman luas yang dimiliki beliau mampu memacu universiti ini untuk menjadi peneraju dalam segenap aspek ilmu dan muncul sebagai pusat rujukan global untuk integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Ucapan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin atas sumbangan dan jasanya kepada Universiti sebelum ini.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

2016-09-01T09:43:59+00:00

Leave A Comment