NILAI – Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani bin N. Hassan Thani dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2023 hingga 30 September 2026. Pelantikan beliau oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin adalah bagi menggantikan Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengakhiri tempoh lantikannya pada 30 September 2023.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B.) (Hons) dari University of Buckingham (1984), Ijazah Sarjana Undang-undang (LL.M) dari Queen Mary College, University of London dan Barrister at Law, Lincoln’s Inn pada tahun 1985 dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Undang-undang dari School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London (1993).

Selain itu, beliau juga merupakan Sarjana Pelawat Fulbright di Harvard Law School, University of Harvard, USA dari 1996 hingga 1997 dan Chevening Fellow di Pusat Pengajian Islam Oxford, Universiti Oxford dari 2004 hingga 2005.

Dalam bidang akademia, beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1987 sehingga 1996 sebelum meneruskan kerjaya dalam bidang guaman sebagai peguam antarabangsa di Baker & Mc Kenzie (firma guaman antarabangsa), Singapura (Jun 1997-Mei 1998) dan yang terkini sebagai pengerusi/konsultan di firma guaman terbesar di Malaysia, Zaid Ibrahim & Co. (in association with KPMG Law) (Jun 1998-kini).

Menggunakan pengalaman sebagai pengamal undang-undang, beliau juga terlibat dalam penulisan pelbagai siri artikel dan buku khususnya dalam bidang perundangan selain turut diberikan kepercayaan dan tanggungjawab memegang pelbagai keahlian Lembaga Pengarah di pelbagai buah Syarikat.

Dari segi jalinan kerjasama antara beliau dan USIM juga bukanlah asing, beliau sebelum ini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pelaburan, Universiti Sains Islam Malaysia (Oktober 2021 – Oktober 2023).

USIM mengalu-alukan pelantikan beliau ke jawatan ini oleh Menteri Pendidikan Tinggi kerana dengan kepakaran serta pengalaman yang dimiliki diharapkan dapat mengekalkan kecemerlangan universiti dalam pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli. Universiti turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri atas khidmat bakti yang diberikan sepanjang beliau menjawat tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti khususnya dalam meningkatkan keterlihatan (visibility) USIM di pelbagai peringkat sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan