NILAI, 3 Jun 2020 – Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hj Musa Tan Sri Hj Hassan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu. Pelantikan beliau dibuat oleh YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa mulai 15 Mei 2020 hingga 14 Mei 2023.

Beliau yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara Kelapan pada 12 November 2006 hingga 12 September 2010 telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah USIM selaras dengan Seksyen 17(1)(f) Perlembagaan USIM (Wakil Berpengetahuan & Berpengalaman).

Memulakan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Pelatih pada 1969, beliau telah berkhidmat dan menyandang pelbagai jawatan sepanjang di dalam PDRM sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negara. Antaranya ialah Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (1995), Timbalan Pengarah I JSJ Bukit Aman (2001); Ketua Polis Johor (2003); Pengarah JSJ Bukit Aman (2004); dan Timbalan Ketua Polis Negara (2005)

Pengurusan Universiti berbesar hati dengan pelantikan ini kerana percaya atas pengalaman yang dimiliki oleh Tan Sri Musa Hassan mampu memberi sumbangan yang signifikan untuk membawa USIM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang terutamanya dalam menjayakan Misi USIM 2022 menjadi Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi. Ia sekaligus turut memenuhi hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan