NILAI, 22 Mei 2018 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melangkah setapak lagi dalam menjadikan kampusnya sebagai kampus digital apabila melancarkan Projek Kampus Tanpa Tunai pada Selasa (22 Mei 2018). Projek Kampus Tanpa Tunai ini adalah antara inisiatif di bawah Projek Smart Kampus Digital Kampus USIM.

Inisiatif Kampus Tanpa Tunai ini dijayakan dengan kerjasama USIM dan pihak industri. Bagi industri, ia adalah kerjasama bersama Celcom-AXIATA dan Boost manakala diperingkat universiti, ia diterajui bersama oleh Centre for Global Open Learning, Immersive Technology and Quality Assurance (GOAL-ITQAN), Jabatan Bendahari, Pusat Islam dan Pusat Wakaf dan Zakat USIM.

Kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran pada semua Universiti Awam diseluruh negara iaitu menjelang Jun 2018, semua kampus menjadi kampus pintar atau kampus digital sepenuhnya. Menerusi langkah ini, semua kampus akan memanfaatkan teknologi kod respon pantas atau QR Code untuk semua urusan pentadbiran dan akses kepada kemudahan universiti.

Pelaksanaan Kampus Tanpa Tunai ini bukan sahaja memudahkan para pelajar kerana tidak perlu bergegas ke mesin ATM misalnya untuk mengeluarkan wang, tetapi turut selari dengan perkembangan teknologi terkini yang dilihat menjadi trend atau gaya semasa dan lebih sinonim dalam kalangan generasi muda pada hari ini.

“Pelaksanaan projek Kampus Tanpa Tunai yang kita lancarkan pada hari ini merupakan Fasa 1 terlebih dahulu yang menumpukan terlebih dahulu kepada aspek pembudayaan bermula dari April hingga Jun 2018. Selepas tempoh ini, kita akan memasuki Fasa 2 pula iaitu bermula Julai 2018 yang melibatkan proses inetgrasi dengan servis pembayaran universiti yang lain seperti bayaran denda, yuran pengajian, saman dan lain-lain lagi” ujar Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM ketika berucap merasmikan majlis ini.

“Penggunaan aplikasi Boost atau eDompet dilihat amat mudah dimanfaatkan oleh para USIM khususnya. Saya melihat ia akan menawarkan gaya hidup digital yang lebih menyeronokkan dengan membenarkan pembelian yang lebih mudah, pemindahan wang, tambah nilai dan cenderahati digital. Menggabungkan keperluan gaya hidup pengguna dan teknologi canggih, aplikasi Boost menawarkan urus niaga tanpa tunai yang lebih mudah, pantas, selamat serta pengalaman lebih meluas untuk warga kampus USIM” ujarnya.

Turut dilancarkan adalah Portal iWAZ yang dibangunkan oleh  GOAL-ITQAN dengan kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat. Ia merupakan portal khusus yang dibangunkan bagi membuat sumbangan wakaf dan pembayaran zakat kepada USIM secara talian. Melalui portal ini ia memudahkan prospek pewakaf dan zakat membuat transaksi dengan pantas dan mudah.

Turut hadir dalam majlis yang diadakan di perkarangan Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM ialah adalah Mr Chris Tiffin, Ketua Pegawai Eksekutif Boost; Dato Nohd Abd Rasid Mohd Fadzil, Bendahari USIM; dan Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78620/78629 Faks : 06-798 8032