NILAI, 28 Mei 2021 – Penggunaan aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) merupakan elemen yang penting yang boleh menjadi pendukung utama kepada keberkesanan dan kecekapan dalam urusan pentadbiran sesebuah universiti.

Menuju ke era baharu iaitu Revolusi Industri 4.0, tidak dapat dinafikan bahawa ICT akan menjadi tunjang utama kepada semua pihak untuk bergerak laju dan seiring ke hadapan. Entiti yang mempunyai kekurangan dalam prasarana pembangunan ICT pastinya akan ketinggalan di belakang dan ini merupakan satu kerugian yang besar.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Smart University Blueprint USIM dalam menerajui usaha mendokumentasikan pelaksanaan ICT yang lebih terancang serta menyeluruh bagi kampus USIM.

Dalam usaha menggerakkan idea transformasi digital ini, sebanyak 5 kluster telah diperkenalkan iaitu Kluster Smart Governance, Kluster Smart Infrastructure, Kluster Smart Services, Kluster Smart Learning dan Kluster Smart Lifestyle yang diterajui oleh beberapa Pusat Tanggungjawab.

Sebanyak tiga belas (13) inisiatif telah diperincikan dan dirancang bagi menggerakkan usaha transformasi digital yang diterajui oleh Timbalan Naib Canselor, Penolong Naib Canselor, Pemangku Bendahari dan Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab.

Ia adalah Cashless Campus, Smart Attendance, Learning Space, Dashboard@USIM, Academia Management System, Interactive Website, Smart Masjid, Smart Health, Digital Library & Knowledge Management, Flexible Education, Secure and Safety Campus, Smart Building dan Compliance & Security yang akan menjadi penanda kecemerlangan USIM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua.

Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor USIM selaku Ketua Projek dalam ucapannya berkata, mendepani tuntutan semasa dan jangkauan keperluan masa hadapan, USIM tidak terkecuali bersaing dalam persekitaran menyediakan kemudahan ICT yang lengkap dan sentiasa terkini. Bagi meningkatkan ICT dalam era persaingan ini, universiti mesti terus meningkatkan infrastruktur ICT dan kemudahan berkaitan dengan mengenal pasti peringkat perlaksanaan dan keperluan ICT di seluruh fakulti, pusat pembelajaran dan lain-lain yang bersesuaian.

“Sebelum dunia di landa pandemik COVID-19, sebenarnya telah berlaku perubahan yang besar dari segi pendekatan pengajaran dan pembelajaran serta sistem pengajian di beberapa universiti yang berada di negara maju. Mereka menggunakan kemudahan ICT sepenuhnya dalam proses pembelajaran dan pengajaran misalnya pelajar boleh dapatkan nota syarahan hanya dengan melayari internet tanpa perlu berjumpa pensyarah kerana boleh bersemuka melalui ‘video conferencing’ atau ‘skype’”.

“Kita baru ingin beralih kepada kaedah ini apabila COVID-19 mula melanda negara yang memerlukan universiti perlu bertukar kepada kaedah pembelajaran secara atas talian. Keadaan ini sememangnya memberi cabaran yang amat besar kepada pelajar, pensyarah dan pihak berkepentingan untuk beradaptasi dengan segera pada perubahan ini dengan pada masa yang sama kita masih mengalami beberapa kekangan dalam infrastruktur ICT kampus”, ujar Dato Ridza.

Manakala menurut Prof. Madya Ts. Dr. Madihah Mohd Saudi, Ketua Pegawai Maklumat selaku Pengurus Projek berkata, Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM diberi bertanggungjawab dalam memastikan ekosistem dan infrastruktur ICT USIM sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan teknologi ICT semasa dan masa hadapan berjaya memainkan peranannya dengan cemerlang.

Penghasilan blueprint ini diharap dapat dijadikan sebagai garis panduan kepada USIM untuk merancang dengan lebih strategik dan berfokus dalam mencapai visi dan misi universiti. Dengan adanya blueprint ini juga dapat memberikan panduan kepada pelaksanaan penggunaan ICT secara lebih optimum dan efektif dengan bertemakan “Prosumerism as Catalyst for Economic Growth”.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan