NILAI, 22 April 2018 – Mendekatkan lagi hubungan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan pihak industri yang sentiasa bersama-sama universiti dalam menjayakan pelbagai program yang dirancang, satu majlis khas iaitu Majlis Santapan Diraja USIM bersama Industri 2018 telah dianjurkan pada Sabtu malam tadi.

Bertempat di Hotel Le Meridien,Putrajaya majlis ini diserikan dengan keberangkatan tetamu Diraja iaitu DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud merangkap Canselor USIM. Turut mengiringi adalah Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM.

“Julung kali diadakan, tujuan penganjuran Majlis Santapan Diraja USIM bersama Industri ini adalah untuk meraikan kerjasama di antara USIM dan rakan-rakan industri kami. Usaha USIM untuk menambah jaringan industri dan mempergiatkan usahasama dengan mereka adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi yang menggalakkan peningkatan kerjasama antara Universiti Awam dan Industri”.

“Selain untuk menghargai kerjasama yang diberikan oleh industri, penganjuran majlis ini bertujuan untuk mengumpul dana sumbangan sebagai satu usaha murni untuk melestarikan dana yang dikumpul untuk program-program wakaf dan bantuan kewangan kepada siswa USIM kurang berkemampuan” kata Profesor Dato Dr Zulkiple Abdul Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM dalam ucapan kepada hadirin.

“Dana sumbangan ini juga akan dimanfaatkan untuk program berbentuk kelestarian alam sekitar di dalam kampus USIM dan juga komuniti setempat. Saya percaya dengan kerjasama dan sokongan semua pihak, niat USIM bagi menggapai cita-citanya menjadi universiti rujukan dan terulung di peringkat global dalam pengintegrasian ilmu naqli dan aqli akan terlaksana” tambahnya.

Pada majlis ini, antara rakan industri yang menerima penghargaan dari USIM adalah Qatar Foundation, Yayasan Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Islam Sembilan, Maybank, RHB Islamic Bank Berhad dan QSR Brands (M) Holding Sdn Bhd.

Turut menerima penghargaan adalah Etika Takaful, Bank Rakyat, Permodalan Nasional Berhad, BSN Prudential Takaful dan Perumahan Kinrara.

Pada majlis sama, Etika Takaful juga berbesar hati menyerahkan sumbangan wang zakat berjumlah RM 100,000.00 kepada USIM untuk dimanfaatkan pelajar asnafnya. Penyerahan sumbangan ini disampaikan oleh Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Rahman selaku Ahli Lembaga Syariah Etika Takaful.

Selain itu, Bank Islam yang diwakili oleh Pengerusinya, Dato Zamani Abdul Ghani turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM 50,000.00 kepada USIM selaku penaja utama Majlis Santapan Diraja USIM bersama Industri 2018.

Tetamu lain yang hadir di majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelaja dan Alumni),Profesor Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato Dr Roshada Hashim; wakil industri, fakulti dan alumni USIM.

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan penuh bertenaga dari penyanyi lagenda rock tanah air iaitu Dato Nash.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204