NILAI, 23 November 2017 – Majlis Konvokesyen ke-15 USIM hari ini menutup tirai pada sidang kelima oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Pro Canselor USIM.
Pada sidang ini, YAM Tunku Pro Canselor berkenan menyempurnakan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dr. Abdul Jalil bin Abdul Kader yang merupakan Profesor di USIM sehinggalah beliau bersara tetap daripada perkhidmatan pada tahun 2016.
Pada majlis yang sama, seramai 442 graduan daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST) menerima Ijazah Sarjana Muda masing-masing bagi enam program iaitu Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Sarjana Muda Sains (Bioteknologi Makanan), Sarjana Muda Sains (Aktuari dan Pengurusan Risiko), Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan), Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dan Sarjana Muda Sains (Teknologi Kimia Industri).
Profesor Dr. Abdul Jalil bin Abdul Kader dilahirkan pada 1950 di Butterworth, Seberang Perai, Pulau Pinang. Beliau memulakan persekolahannya di Sekolah Stowell, Bukit Mertajam sebelum melanjutkan pelajaran ke Malay College, Kuala Kangsar hingga 1967 kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Kedoktoran Veterinar di University of Agriculture, Lyallpur, Pakistan.
Beliau melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di University of Wales, Cardiff dan pernah dilantik sebagai Profesor dalam bidang Fisiologi Mikroorganisma. Beliau juga terlibat sebagai penyelidik dalam program NEDO (Japan) bertajuk penghasilan aseton, butanol dan etanol daripada sisa pemprosesan minyak kelapa sawit dan merupakan penyelidik bersama dalam projek biosintesis lipid daripada kulat penghasil asid linoleik (2002-2005), penulenan dan pencirian kitin deasitilase daripada Rhizapous oligosporous (2002-2005), Study of Cellulase gene from Aspergillus terreus dan Development of bacterium-based intergrated waste water-treatment system.
Sumbangan dan jasa beliau dalam bidang penyelidikan terserlah melalui pelbagai pengiktirafan yang diperolehi di peringkat negara dan antarabangsa. Antaranya pemenang anugerah mikrobiologi daripada persatuan mikrobiologi malaysia, pencapaian pingat dalam pertandingan rekacipta seperti IID, iTEX dan di luar negara seperti pertandingan rekacipta di Eureka/Brussels Innova Energy.
Selain itu, beliau juga aktif dalam persatuan Persatuan Mikrobiologi Malaysia, pernah memegang jawatan Editor Journal of Microbiology and Biotechnology (1996) dan menjadi Ahli Panel menetapkan piawai bagi bidang sains (Kod Amalan Jaminan Kualiti IPTA di Malaysia), Jabatan Pendidikan Tinggi. Sumbangan dan jasa beliau dihargai sebagai anak jati Pulau Mutiara melalui penganugerahan Bintang DJN (Darjah Johan Negeri) Pulau Pinang, pada Julai 2002.
Penglibatan beliau bersama-sama pelajar USIM juga terserlah melalui program Global Islamic Students Outreach (GISO) ke Manila, Cambodia, Kunming, China dan terakhir ke Seoul, Korea. Semasa di USIM, beliau menabur bakti di Fakulti Sains dan Teknologi dengan bidang mikrobiologi adalah kepakaran akademiknya. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan pentadbiran juga semasa di USIM antaranya Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Pengkomersialan dan pemangku Dekan Penyelidikan.
Insan hebat ini juga mempunyai keahlian organisasi profesional, sosial dan rekreasi di luar dan di dalam universiti seperti ahli majlis profesor negara, ahli majlis perundingan akademia-industri (AICC,MOHE), ketua bidang USIM KRA 5, ketua jawatankuasa pelaksana i-Inova USIM dan ketua Special Interest Area (SIA)-Innovative Technology.
Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga USIM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas penganugerahan tersebut. Syabas juga diucapkan buat semua graduan yang menerima ijazah sepanjang Majlis Konvokesyen USIM yang berlangsung pada 21 November hingga 23 November 2017 bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM.